Peminat dunia seni tempatan umumnya mengetahui bahawa kejayaan yang hadir dalam karier penyanyi Dan Sebenarnya, Yunalis Zarai tidak datang bergolek.
Benarlah, setiap kejayaan itu memerlukan pengorbanan, minat yang mendalam dan komitmen berterusan walaupun diri dihambat dengan pujian mahupun kecaman.
Setelah 4 tahun bertapak di Amerika Syarikat untuk melebarkan sayap di peringkat antarabangsa, tahun 2020 menyaksikan Yuna kembali semula menetap di Malaysia dek situasi pandemik yang masih tidak stabil di bumi Uncle Sam itu.
Bagaimanapun, keberadaan Yuna di sini bukanlah tanpa sebarang perancangan ataupun projek terbaru.
Hendak diikutkan, 2020 merupakan tahun yang agak padat buat penyanyi ini. Yuna telah terpilih sebagai salah seorang duta selebriti untuk jenama Coach di samping Jennifer Lopez.
Dia juga telah berkolaborasi dengan jenama sarung telefon Cases by WF dengan mengeluarkan merchandise. Terbaru, Yuna menjayakan konsert secara penstriman langsung dari Aquaria KLCC untuk tontonan peminatnya di seluruh dunia.
Disebabkan itulah, penulis gembira tatkala melihat kelibat Yuna mendapat perhatian Paper Mag dalam sebuah temuramah yang baru dimuat naik pada hari ini.
Untuk pengetahuan, Paper Mag merupakan sebuah jenama naskah majalah indie yang diterbitkan di New York City dan menyentuh mengenai topik fesyen, budaya, muzik, seni, filem dan lain-lain
Dalam paparan foto yang dibidik oleh Pol Kurucz dan Looping Lovers ini, ia menyaksikan ekspresi kreatif Yuna yang digambarkan dalam keadaan berterbangan.
Seumpama menandakan era baharu Yuna yang kali terakhir muncul dengan album Rouge, pada tahun lalu. Kali ini, Yuna digambarkan sebagai figura yang terus bebas berkarya dan terbuka untuk bereksperimentasi.
Paper Mag turut menyentuh mengenai single yang baru dilancarkan Yuna 4 hari lalu berjudul Dance Like Nobody’s Watching.
Kata Yuna, dia telah menulis lagu tersebut beberapa tahun yang lalu dan ia bertemakan penerimaan kita terhadap diri sendiri. “Tak kiralah apa yang sedang berlaku, kamu sedang melakukannya untuk memuaskan diri sendiri dan tidak berfikir mengenai pendapat orang lain. Ini adalah lagu mengenai cintakan dan sayangkan diri,” katanya.
Dengarkan Dance Like Nobody’s Watching di bawah.
*
Jangan lepaskan peluang untuk menghantarkan penyertaan secara online bagi pencarian Hero Remaja 2021 bermula 7 Disember sehingga 20 Disember 2020. KLIK DI SINI
.