Pemilik nama Engku Aleesya Engku Emran hangat diperkatakan sejak Jumaat minggu lalu setelah remaja yang bakal menginjak ke usia 12 tahun itu menghadiri majlis pernikahan ayahnya, Engku Emran Zainal Abidin, 46 kepada Noor Nabila, 37.
Aleesya yang hadir bagi memberikan sokongan kepada bapanya itu kelihatan cukup poise dan tenang pada sesi pernikahan dan mengambil gambar sepanjang majlis tersebut sehinggakan warganet memuji kematangannya.
Peluang untuk bertemu Erra Fazira semalam di majlis pengenalan duta pelitup muka Himaya telah diambil oleh REMAJA untuk bertanyakan kepada primadona filem Melayu itu sendiri mengenai Aleesya dan bagaimana anak daranya itu mampu berdepan dengan ‘situasinya’ kini.
Selain menyifatkan Aleesya gembira dan teruja untuk kini bergelar kakak dan mempunyai seorang adik tiri (Jebat Jayden), Erra juga mengakui sisi matang yang dimiliki oleh Aleesya.
ARTIKEL BERKAITAN : “Cantik Macam Mommy” Anak Erra Fazira Kian Meningkat Remaja – REMAJA
“Saya dengan Aleesya berbicara seperti orang dewasa. Ada masanya, dia manja. Tapi kebiasaannya, jika saya perlu jelaskan sesuatu kepadanya dengan fakta dan contoh, minda Aleesya memang terbuka untuk menerima.
“Saya selalu bercerita dengannya tentang kehidupan. (Bila sudah) dewasa nanti, apakah expectation kita. Saya selalu ingatkannya walau secantik manapun seseorang itu, jika perangainya tidak elok, orang di sekeliling tidak akan suka juga.
“Sedikit sebanyak, Alhamdulillah adalah sedikit pesanan saya yang ‘diserap’ olehnya. Mungkin juga situasinya kini membuatkannya lebih matang. Bila dia dengan bapanya (selama empat hari seminggu), pembawakannya lain. Bila dia dengan saya, lain pembawakannya. Sama saja seperti remaja lain,” kata beliau yang melahirkan Aleesya pada tahun 2009.
Sudah tentu apabila usia seorang anak dara meniti ke zaman remaja, lebih banyak cabaran yang akan dihadapi oleh si ibu dan Erra tidak terkecuali. Jelasnya, dia selalu mengingatkan diri bahawa dia juga tidak sempurna dan dahulu perlu belajar daripada pengalaman sendiri.
“Kami sama-sama banyakkan membaca untuk kami menjadi insan yang lebih baik. Masa saya pun terhad dengannya. Dalam tiga hari seminggu itulah saya nak mengajar, mendidik, nak marah, nak bermanja dengannya. Jadi saya enggan mengambil remeh mengenai apa-apa perkara berkaitan Aleesya.”
Dalam majlis yang berlangsung di sebuah hotel di ibu negara itu, Erra telah dilantik sebagai duta pelitup muka Himaya bersama penyanyi, Wany Hasrita.
ARTIKEL BERKAITAN : Wany Hasrita Tak Terlepas Alami ‘Maskne’, Ini Produk Solusinya – REMAJA