“Apa nak jadi dengan kau ni, asyik main video game je?”. Itu mungkin satu keadaan yang biasa dihadapi oleh ramai orang terutamanya gamers di kalangan remaja. Namun, pada zaman sekarang permainan video atau dikenali sebagai eSport bukan lagi perkara enteng yang boleh dipandang sebelah mata. Ia kini menjadi acara yang dipertandingkan dan menawarkan sumber pendapatan serta penajaan bernilai jutaan ringgit.
Populariti eSport yang semakin hari semakin meningkat merupakan satu perkara yang tidak dapat disangkal lagi. Pada tahun 2015 sahaja, eSport mampu menarik audiens global berjumlah lebih 226 juta orang.
Menyedari akan peningkatan serta populariti luar biasa eSport, Paris sebagai antara pembida Sukan Olimpik 2024 telah menyatakan kesediaan mereka untuk menyertakan eSport sebagai salah satu acara di kejohanan sukan dunia paling berprestij itu.
Menurut Tony Estanguet, presiden bersama komitee bidaan Paris berkata, pihaknya akan bertemu dengan International Olympic Comittee dan wakil eSports bagi membincangkan perkara ini jika Paris berjaya dipilih sebagai tuan rumah Sukan Olimpik 2024. Paris dilaporkan akan diumumkan sebagai tuan rumah Olimpik 2024 apabila IOC biersidang pada bulan hadapan di Peru.
Pada bulan April yang lalu, Olympic Council Asia (OCA) mengumumkan eSports bakal dipertandingkan di 2022 Asian Games di China. Ia merupakan langkah terkini yang berani bagi memartabatkan lagi eSports sebagai sebuah sukan kompetitif yang diiktiraf.
Jadi kepada games di luar sana, teruskan berjuang di alam digital dengan penuh semangat. Siapa tahu suatu hari nanti Malaysia boleh melahirkan pemenang pingat emas eSports di Sukan Olimpik!
Sumber: the guardian