Baru-baru satu pertandingan penciptaan jentera kereta paling efisen telah diadakan oleh Shell Eco Marathon Asia 2018 yang bertempat di Changi Exhibition Centre, Singapura.
Kejohanan yang mempertandingkan jentera paling efisen dari sudut kadar kecekapan ini bermula seawal Ogos 2017 dengan tiga peringkat saringan melibatkan pasukan seluruh benua Asia.
Bermula dari 300 penyertaan pada peringkat awal, seramai 125 pasukan terpilih ke peringkat akhir di Singapura yang perlu melepasi peringkat pemeriksaan layak menyertai perlumbaan.
Apa yang membanggakan, Universiti Malaysia Pahang yang mencipta EV-Tech telah terpilih ke peringkat akhir apabila berjaya menghabiskan 9 pusingan berterusan di bawah 25 minit yang akan direkodkan percubaan serta kadar kecekapan kuasa.
Remaja sempat menemuramah pelumba kereta berkenaan, Muhamad Ezzat Emeer bin Mohd Rizan pelajar tahun 3 dari Fakulti Teknologi Kejuruteraan (Pembuatan), Universiti Malaysia Pahang (UMP).
Mengakui gembira dengan kejayaan tercipta, Ezzat Emeer berkata, kejayaan ini milik seluruh pasukan UMP Tech yang mana mereka sudah bekerja kerasa sejak 6 bulan lalu.
“Kami bertanding dalam kategori Prototype Bateri Electric. UMP –Tech disenaraikan sebagai pasukan ke 14 terpantas keseluruhan Asia bagi kategori ini,” kata pelajar tahun 3 dan di semester ke-2 ini.
Bangga dengan pencapaian pasukan dan universiti diwakilinya, kata Ezzat Emeer dia sejak kecil dia memang begitu meminati dunia permotoran.
“Lanjutan ini bila berada di universiti khususnya dalam kos Teknologi Kejuruteraan (pembuatan), ia lebih mendorong untuk saya melibatkan dalam bidang penciptaan. Asalnya saya pemandu kedua tetapi mungkin ketua melihat saya dapat menyesuaikan diri dengan litar dengan lebih baik, akhirnya saya menjadi pemandu utama,’katanya yang menyifatkan pertandingan anjuran Shell ini begitu kerana mendedahkan pelajar dalam bidang pembuatan dan penciptaan.
Dalam masa yang sama, Ezzat Emeer berkata, diaw menjadikan pelumba dari negara China sebagai “idola” ketika di litar kerana China sudah biasa mendapat tempat dalam kejohanan yang disertai ratusan pasukan dari seluruh Asia.
“Saya mengekorinya dari arah belakang. EV-Tech ciptaan UMP-Tech sebenarnya boleh pergi lebih dari 50km sejam tetapi saya selaku pemandu bimbang kalau terlanggar tembok kerana semua itu akan dikira sebagai markah bagi pasukan. Menewaskan kereta ciptaaan dari seluruh Asia dengan pencapaian kami ini adalah sesuatu yang sangat membanggakan,” katanya yang melahirkan rasa bangga dengan kerja berpasukan mereka semua.
Selain diiktiraf sebagai pasukan ke 14 terbaik keseluruhan Asia bagi kategori Bateri Electric, pasukan UMP-Tech turut menerima pengiktirafan sebagai pasukan ke 9 terpantas keseluruhan pasukan Asia pelbagai kategori dan No 3 terpantas keseluruhan pasukan Malaysai pelbagai kategori.
“Pertandingan kali ini adalah yang terbaik untuk Universiti Malaysia Pahang. Sebelum ini telah ada wakil bagi tahun-tahun sebelumnya tetapi kali ini pasukan kami berjaya mencipta dengan kepantasan berbeza.
“Saya memang sangat minat dalam dunia penciptaan. Ini satu permulaan baru dan diharapkan pasukan UMP akan mampu mencapai kejayaan berganda untuk tahun-tahun seterusnya,”katanya yang mencurah ilmu biar selepas tamat pengajian.
Menyeru agar golongan remaja lebih memanfaatkan peluang ketika belajar, kata Ezzat Emeer, dia turut berkongsi pendapat bahawa golongan pelajar dan remaja harus berusaha keras dan bukan terus “mengikut” tanpa tahu arah tujuan dan pilihan hidup.
“Budaya ikut-ikutan boleh tetapi di pengakhirannya, kita kena tahu apa kebaikan yang kita peroleh. Jangan ikut tetapi akhirnya menjadi lebih buruk,”katanya mengakhiri perbualan.
Syabas dari Remaja untuk pasukan UMP-Tech yang telah menaikkan nama universiti dan Malaysia di peringkat Benua Asia.