Trend ‘eyelash extensions’ iaitu sambungan bulu mata palsu telah mendapat perhatian ramai tak kiralah dari selebriti hingga ke orang awam bukan la satu benda yang baru. Untuk nampak cantik dan sempurna, terutamanya golongan wanita sanggup melakukan apa sahaja.
Namun persoalannya, akah hukum dalam Islam memakai ‘eyelash extensions’ ini terhadap wanita muslimah? Ikuti penerangan Mufti Wilayah Persekutuan mengenai prosedur eyelash extension di bawah ini.
Islam Tidak Melarang Kecantikan
Pada asasnya, Islam tidak melarang umatnya daripada mencantikkan diri. Bahkan Islam menganjurkan umatnya untuk tampil kemas dan kelihatan cantik dengan cara sederhana dan sesuai. Dalam sebuah hadis menyebut:
إِنَّ اللَّهَ جَمِيلٌ يُحِبُّ الْجَمَالَ
Maksudnya: “Sesungguhnya Allah itu indah dan Dia sukakan keindahan.”
Riwayat Muslim (275)
Meskipun begitu, perbuatan tersebut hendaklah dilakukan keadaan sederhana. Islam melarang umatnya daripada sikap keterlaluan, keangkuhan dan penipuan.
Dalam isu pemakaian bulu mata palsu ini juga, kami berpandangan perlulah dilihat daripada beberapa sudut:
- Kesucian
- Memasang bulu mata palsu adalah haram jika menggunakan bahan bernajis seperti bulu bangkai kerana tidak sah dibawa solat dan jika di luar, haram kerana sengaja menajis badan tanpa ada keperluan (al-tadammukh bi al-najasah).
- Jika menggunakan bulu mata palsu separa kekal dengan menggunakan gam yang akan menghalang air daripada sampai ke kulit dan setiap bulu mata, mata hukumnya juga adalah haram kerana menghalang sahnya wudhu’ dan mandi wajib.
- Qias dengan larangan menyambung rambut
- Ini kerana rambut dan bulu mata adalah bulu-bulu yang tumbuh pada badan manusia yang menjadi perhiasan tubuh badan dan tidak disunatkan untuk mencabutnya. Justeru, haram hukum menyambung bulu mata sama seperti haram menyambung rambut yang dilaknat dan tindakan mengubah ciptaan Allah SWT.
- Kesihatan
- Haram memakai bulu mata palsu yang menggunakan bahan-bahan yang memudaratkan nyawa dan tubuh badan manusia sedangkan tujuan Syarak adalah hifz al-nafs (menjaga nyawa manusia). Ini berdasarkan firman Allah Taala:
وَلَا تُلْقُوا بِأَيْدِيكُمْ إِلَى التَّهْلُكَةِ
Maksudnya: “Dan janganlah kamu sengaja mencampakkan diri kamu ke dalam bahaya kebinasaan.”
(Surah al-Baqarah: 195)
- Kecantikan
- Haram hukumnya memasang bulu mata palsu sementara dan separa kekal bagi tujuan kecantikan dengan menggunakan bulu atau rambut manusia, haiwan, bulu sintetik, tanpa keizinan suami. Ini kerana terdapat unsur penipuan dan mengubah ciptaan Allah SWT.
- Namun dibolehkan memakai bulu mata palsu yang menggunakan selain rambut manusia atau bulu najis, dengan keizinan suami, dan tidak menggunakan bulu mata palsu separa kekal yang menghalang air untuk bersuci. Ini kerana bercantik dan berhias untuk suami itu digalakkan dalam Syarak. Rujuk al-Majmu’ (3/141).
- Begitu juga sekiranya terdapat keperluan mendesak seperti seseorang yang ditimpa penyakit, ditimpa kemalangan, terbakar atau yang seumpamanya daripada perkara-perkara kecacatan lalu menyebabkan bulu matanya rosak atau cacat, maka pemakaiannya adalah dibolehkan pada ketika itu, tanpa menggunakan bulu manusia, bahan bernajis dan tidak menghalang air untuk bersuci. Daripada Sayyidina Ali RA, katanya, aku mendengar Rasulullah SAW bersabda:
مَنْ تَرَكَ مَوْضِعَ شَعْرَةٍ مِنْ جَنَابَةٍ لَمْ يَغْسِلْهَا فُعِلَ بِهِ كَذَا وَكَذَا مِنَ النَّارِ. قَالَ عَلِىٌّ فَمِنْ ثَمَّ عَادَيْتُ شَعْرِي
Maksudnya: “Sesiapa yang meninggalkan pangkal rambut daripada terkena air ketika mandi janabah walaupun sehelai, Allah akan melakukan begini-begini dengan api neraka.” Ali berkata: Sejak itu aku tidak menyukai rambutku.
Riwayat Abu Daud (249).
Adapun bulu mata yang ditanam ke dalam kulit, maka ia tidak menghalang sahnya wuduk.
Berdasarkan kesimpulan di atas, kami menyeru agar mereka yang memakai bulu mata palsu yang diharamkan Hukum Syarak meninggalkan perbuatan berkenaan dan bertaubat kepada Allah SWT dan melakukan perkara-perkara berikut:
- Hendaklah bulu mata palsu itu dicabut dan gamnya dilunturkan untuk membenarkan air sampai ke bulu dan kulit semasa bersuci.
- Jika bulu mata palsu itu tidak boleh dicabut, melainkan akan menyebabkan kecacatan kepada bulu mata dan mata, maka dibenarkan mengekalkannya sehingga dia gugur sendiri setelah tamat tempohnya. Dalam tempoh tersebut, wajiblah pemakainya berwudhu’ dan mandi wajib seperti biasa dan solat hormat waktu. Namun setelah tamat tempoh bulu mata tersebut, maka wajib dia mengulangi kembali mandi wajib dan semua solat-solatnya yang dilakukan dalam tempoh memakai bulu mata palsu tersebut kerana mengambil hukum faqid al-tohurain (orang yang tidak boleh bersuci dengan air atau tanah). Ini juga sebagai taghlizan (pengajaran yang berat) agar tidak cuai lagi dalam isu-isu kebersihan dalam Islam. Ini adalah pendapat yang lebih berhati-hati.
- Namun, jika seseorang itu lemah imannya dan ditakuti akan terjerumus ke lembah kekufuran kerana tidak mampu mengqadha’ semua solat yang ditinggalkan dalam tempoh pemakaian bulu mata palsu tersebut, maka dalam keadaan darurat seperti ini diharuskan untuk bertaqlid dengan pendapat Imam al-Nawawi bahawa apabila solat itu sudah dilaksanakan pada waktunya maka tidak perlu mengulangi semula. Rujuk Tuhfatul Muhtaj (1/379) oleh Imam Ibn Hajar al-Haitami. Ini juga merupakan pendapat yang sahih dalam mazhab Hanbali. Rujuk al-Mughni (1/184) oleh Imam Ibn Qudamah. Begitu juga dalam soal mandi wajib, terdapat pendapat lemah ulama Syafieyyah yang menganggap kotoran di bawah kuku dan ruang bahagian dalam simpulan rambut, yang menghalang air, adalah dimaafkan kerana terlalu sedikit. Rujuk Kifayah al-Akhyar (hlm. 43); Hasyiah al-Syirwani (1/187)
Semoga jawapan ini memberi kefahaman yang jelas kepada kita semua yang bahawa isu halal dan haram dirujuk kepada nas dan para ulama’ agar segala tindakan kita berbetulan dengan neraca Syarak. Kami nasihatkan kepada semua pihak khususnya para wanita agar berhias dan mencantikkan diri dengan kadar yang sederhana, tidak menunjuk-nunjuk, dan tidak mengubah ciptaan Allah seperti mana yang dilakukan oleh kaum Jahiliyyah.
Sebelum ini ini, PU Azman penceramah bebas dan pelakon, juga pernah berkongsi mengenai hukum pemakaian bulu mata palsu yang mungkin membuatkan ramai keliru.
Haram Kerana Ada Unsur Penipuan
Jelasnya, pemakaian bulu mata palsu adalah diharamkan kerana ia mempunyai unsur penipuan.
“Eyelash extension dan bulu mata palsu dilihat haram kerana ada unsur melampau. Ada unsur penipuan.
“Si pemakai nak orang lain tahu tu bulu mata dia, padahal bukan. Kalau si pemakai tak niat macam tu pun tetap haram kerana orang lain ingat itu bulu mata asli dia, maka ada unsur penipuan.
Ada Gam Yang Menghalang Air Wuduk & Mandi Wajib
“Haram kerana ada gam di atas kulit maka menghalang air wuduk dan mandi wajib. Kalau takda gam pun ia tetap haram kerana unsur penipuan.
Memudaratkan Kesihatan
“Haram kalau memudaratkan kesihatan bagi kes-kes tertentu. Kalau tak mudaratkan kesihatan pun ia boleh jadi haram kerana ada unsur penipuan.
Mengubah Ciptaan Allah
“Haram kerana mengubah ciptaan Allah. Haram kerana ada tujuan untuk bercantik-cantik sedangkan dia memang dah ada bulu mata asli ciptaan Allah.
Harus Jika……
“TETAPI, ia boleh menjadi harus kalau untuk menutup aib iaitu bagi orang yang tiada bulu mata dan tujuan untuk kelihatan cantik depan suami dan tidak menghalang air, tidak najis dan tak rosakkan kesihatan.
So, masih ingin meneruskan eyelash extension? Tepuk dada tanya selera. Keputusan terletak dalam tangan korang.
Sumber: Mufti WP , Instagram PU Azman