Setiap kali dianjurkan pada saban tahun, acara Anugerah Bintang Popular Bintang Harian (ABPBH) pastinya akan menarik perhatian ramai peminat hiburan tanah air dengan senarai undian awal dalam beberapa kategori yang dipertaruhkan.
Dan setiap tahun juga, pastinya ada dalam kalangan keluarga besar pencarian Hero Remaja dan Dewi Remaja yang ‘sangkut’ membawa pulang beberapa kategori daripada anugerah yang memerlukan sokongan hebat daripada para peminat nmasing-masing itu.
Antara yang masih berbekas di ingatan ramai tentunya adalah dua edisi terdahulu di mana kategori utamanya iaitu Bintang Paling Popular disandang oleh Dewi Remaja 2009/2010, Noor Neelofapada edisi ABPBH 29 (2016) dan Hero Remaja 2011/2012, Fattah Amin pada tahun berikutnya untuk edisi ABPBH 30. Begitu juga dengan tahun-tahun seterusnya termasuklah pada tahun lalu yang menyaksikan Ben Amir dan Mawar Rashid masing-masing memenangi kategori Pelakon TV Lelaki Popular dan Pelakon Filem Wanita Popular.
ARTIKEL BERKAITAN : #Throwback Tahun Demi Tahun, Hero Remaja & Dewi Remaja Menang Di ABPBH – REMAJA
Bagi edisi ABPBH-34 tahun ini, nampaknya kemunculan generasi baharu daripada keluarga Hero Remaja dan Dewi Remaja mula mendominasi senarai pencalonan biarpun boleh dianggap baharu dalam industri seni tanah air.
*
Kategori Artis Baharu Lelaki Popular misalnya cukup meriah dengan kehadiran Nadhir Nasar, Meerqeen, Hariz Hamdan dan Aniq Suhair (edisi Hero Remaja 2020) serta Nabil Aqil (edisi Hero Remaja 2017).
Pelakon yang mendapat perhatian menerusi filem Mael Totey, Aween Ismail (edisi Dewi Remaja 2018/19) dan juara Dewi Remaja 2019, Shaza Bae pula memberikan saingan dalam kategori Artis Baharu Wanita Popular.
Sementara itu, Meerqeen dan Nabil Aqil turut tercalon bagi kategori online untuk Gandingan Serasi Filem Popular masing-masing menerusi filem Kelaster dan Takut Ke Tak; bersama-sama senior mereka dari edisi Hero Remaja 2011/12, Fattah Amin (Miimaland) dan Syafiq Kyle (Saka Nan Sepi).
Meerqeen, Syafiq Kyle dan Fattah Amin sekali lagi menembusi kategori Pelakon Filem Lelaki Popular, juga menerusi filem Kelaster, Saka Nan Sepi dan Miimaland.
Rakan seperjuangan Fattah dan Syafiq iaitu Saharul Ridzwan turut tidak terkecuali dicalonkan untuk kategori Pelakon TV Lelaki Popular Xiomi bersama-sama Hero Remaja 2007/2008, Kamal Adli. Nampaknya, ‘comeback’ yang dilakukan Saharul bermula tahun lalu tidak mengecewakan.
Untuk kategori Pelakon TV Wanita Popular Xiomi pula, Azar Azmi (edisi Dewi Remaja 2009/2010) menyerlah menerusi beberapa naskah drama yang dibintanginya manakala Fify Azmi (edisi Dewi Remaja 2014/2015) pula tercalon bagi kategori online; Watak Antagonis Popular dengan persembahan mantap dalam drama Ryan Aralyn.
Korang boleh mula mengundi mereka bagi peringkat awal ini bermula semalam hingga 3 Oktober nanti di LAMAN WEB rasmi APBBH. All the best Heroes & Dewis!