Walaupun baru 6 hari berlalu sejak ditayangkan pada 20 Januari lepas melalui saluran 131 Astro Citra, telefilem Pok Ya Cong Codei kini sudah hangat menular di media sosial.
Bagi korang yang tidak tahu-menahu tentang telefilem tersebut, ia mengisahkan seorang samseng dari Kelantan yang ditugaskan mencari anak seorang businessman di Kuala Lumpur.
Semasa misi pencarian itulah, berlakunya macam-macam aksi, emosi dan dialog lucu membabitkan pelakon utamanya, Sabri Yunus serta pelakon lain seperti Fikri Ibrahim (Rashdan), Mustapha Kamal (Datuk Sahak) dan Uqasha Senrose (Aina).
Datuk Sahak yang sudah biasa melakukan kegiatan haram akhirnya terbongkar apabila Rashdan menceritakan rahsia haram beliau kepada anak perempuan Datuk Sahak, Aina.
Rupa-rupanya, Datuk Sahak pernah melanggar pemandunya yang juga merupakan ayah Rashdan dahulu kerana ayahnya ingin membongkar rahsia tersebut. Kini, Rashdan pula ingin menculik Aina untuk membalas dendam.
Lakonan setiap pelakon dalam telefilem ini diakui ‘kuat’ manakala dialognya pula dikatakan ‘punch’.
Sehinggakan frasa Cong Codei yang merujuk kepada ‘Hotel Con.Cor.De’ menjadi trending di Facebook dan Twitter. Malah, sebuah page peminat di Facebook juga telah dicipta oleh peminat cerita tersebut.
Tapi siapa sebenarnya inspirasi untuk watak Pok Ya ini?
“Sebenarnya, Cong Codei asalnya terjadi pada tahun 70 an. Apabila adik ipar saya cerikan kepada saya tentang kisah tersalah cakap tu, saya rasa boleh gunakan (idea ini) dan jadikannya satu cerita,” kata pengarah dan pelakon itu kepada Sinar Harian.
Namun begitu, watak Pok Ya hanyalah watak rekaan. Tiada apa yang sama dengan watak asal kecuali sifat-sifatnya.
“Pok Ya ini ‘gedebe’ iaitu seorang yang garang, tak boleh ditegur namun masih mempunyai hati yang baik, bijak dan boleh menyelesaikan masalah.
“Hati je kering, tapi orang masih hormat kepada dia. Oleh sebab saya nak orang betul-betul merasai sifat ‘gedebe’ tu, saya sendiri melakonkannya,” katanya lagi.
Kini setelah Pok Ya Cong Codei menjadi tular, ada kemungkinan juga telefilem ini bakal diterbitkan dalam bentuk bersiri.
“Ada perancangan namun masih lagi di peringkat awal perbincangan. Insya Allah.”
Netizen Gasak Kecek Kelate
Kalau diperhatikan di Twitter terutamanya, peminat telefilem itu tidak kering idea untuk menulis status dalam dialek Kelantan
smlm tgk dah pok ya cong codei..haha..oklah citernya..laki den tegelak2..ambui..syok no klo citer berbini muda..haha..ule mudo ( ulam muda)
— Syamimi.N (@GadisPanda) January 26, 2018
“Kalo bini aku keno bawo lari, sampai hujung dunio aku gi cari. Tapi kalu bini aku lari sendiri, duk belakang rumoh pun aku tak gi cari. Mudoh cari bini baru dari cari bini lari.” – Pok Ya Cong Codei
— MalaysiaKu Kelakar (@Oh_Malaysiaku) January 25, 2018
Malah, ada juga yang sempat menukar dialek video siri Spongebob Squarepants dengan dialek Kelantan menggunakan Madlipz.
Spongebob pergi Kelantan? ? #madlipz pic.twitter.com/XDhg6c6Omk
— AJQ HRS (@AjiqHaris) January 25, 2018
Hebat betul penangan telefilem ni. Mungkin ia akan menjadi selaris siri Mak Cun sehingga adanya pementasan teater, produk, iklan dan karnival? Sama-sama kita tunggu eh. Buat masa sekarang, jom tonton klip daripada Pok Ya Cong Codei:
Dan jangan lupa juga untuk mengikuti sesi Facebook Live dengan Pok Ya pada hari esok (Sabtu, 27 Januari) pada jam 2 petang!