Farah Diba Pahlavi, Permaisuri Iran Yang Hidup Dalam Buangan

Share

Iran kini merupakan sebuah negara republik Islamik yang diketuai oleh Ali Khamenei. Namun tahukah anda sebelum revolusi Iran yang berlaku pada tahun 1979, negara timur tengah ini sebenarnya diketuai oleh kuasa monarki dan memiliki keluarga Diraja.

Dikenali sebagai Shah Iran, Mohammad Reza Pahlavi merupakan raja terakhir yang memerintah Iran sebelum lari keluar negara demi keseleamatannya dan keluarga. Bersamanya seorang sosok istimewa yang dikenali seluruh dunia, Permaisuri Farah Diba Pahlavi.

Permaisuri Iran ini merupakan isteri ketiga Mohammad Reza Pahlavi yang sebelum itu pernah berkahwin dua kali namun jodoh setiap perkahwinan tersebut tidak panjang. Hasil perkahwinannya dengan bekas Raja Iran itu dikurniakan empat orang cahaya mata.

Digulingkan pada 19 Januari 1979, secara rasminya keluarga Diraja ini menjadi orang buangan yang terpaksa mencari suaka politik di negara lain. Untuk pengetahuan pembaca, Mohammed Reza Pahlavi menerbangkan sendiri jetnya. Farah Diba yang ketika itu berusia 41 tahun bersama empat anaknya yang masih meniti usia remaja dan kanak-kanak umpama ‘pelarian’. Kewarganegaraan dan pangkat semuanya hilang sekelip mata.

Paling menyayat hati, pemerintahan Republik Islamik Iran yang baru ditubuhkan mengehendaki bekas keluarga Diraja ini ditangkap dan kemudiannya ditukar kepada bunuh. Apabila melarikan diri dari Iran, keluarga Diraja ini berlindung di Mesir atas hubungan baik mereka dengan presiden Mesir ketika itu, Anwar Sadat.

Sumber gambar: distribution.arte.tv

Walau bagaimanapun, tekanan daripada kerajaan baharu Iran supaya mereka diekstradisi memberi kesan kepada negara yang memberi mereka perlindungan terutamanya dari segi kestabilan hubungan luar.

Selepas keberadaan mereka memberi kesan buruk kepada Mesir, keluarga Diraja ini kemudiannya memulakan perjalanan panjang mereka dalam mencari tempat tinggal. Antara negara yang pernah mereka duduki seperti Maghribi, Bahamas, Mexico dan Amerika Syarikat.

Ketika menetap di Amerika Syarikat, hubungan di antara negara kuasa besar dunia itu dengan Iran menjadi lebih buruk. Kerajaan Iran menawan kedutaan Amerika Syarikat di Tehran. Disebabkan perkara ini, kerajaan Amerika Syarikat tidak memperbaharui kebenaran untuk mereka terus tinggal di sana.

Anak sulung Farah Diva, Reza Pahlavi bersama keluarganya. Kini Reza menggelarkan dirinya sebagai Putera Mahkota Iran, walaupun tidak memiliki tugas signifikan terhadap negara republik Islam tersebut. Sumber foto: Iran Times

Mereka kemudiannya berpindah ke Panama, di sana mereka menerima ancaman tangkapan untuk diekstradisi. Kemudiannya atas hubungan baik Farah Diba bersama Jehan Sadat yang merupakan isteri presiden Mesir, mereka sekeluarga dialukan kembali untuk tinggal di Mesir. Mohammed Reza Pahlavi meninggal dunia pada 27 Julai 1980 di negara itu disebabkan penyakit kanser Hodgkin lymphoma.

Selepas menetap di Mesir lebih setahun, namun nasib keluarga Diraja ini tidak begitu baik. Selepas Anwar Sadat dibunuh, mereka berpindah ke Amerika Syarikat atas jemputan Presiden Ronald Reagan. Mula membina hidup di Massachusetts, mereka kemudian membeli sebuah rumah di Connecticut. Kini Farah Diba menetap di Maryland berdekatan dengan Washington D.C. untuk berada dekat dengan anak sulung dan cucu-cucunya. Selain itu dia juga memiliki hartanah di Paris dan turut menetap di sana.

Sumber gambar: thetimes.co.uk

Kehidupan bekas Permaisuri Iran ini tidak habis dengan cabaran, dia diduga dengan kematian dua orang anaknya yang membunuh diri akibat tekanan mental dan tidak boleh menerima kesan daripada apa yang terjadi kepada keluarga ekoran penggulingan monarki. Leila Pahlavi membunuh diri pada tahun 2001 dan kemudiannya Ali Reza Pahlavi membunuh diri pada 2011.

Kini walaupun tidak lagi memiliki negara, keluarga Dinasti Pahlavi ini masih dihormati oleh kebanyakan keluarga Diraja negara lain dan sebahagian rakyat Iran yang pro-monarki. Mereka kerap dijemput ke majlis perkahwinan Diraja ataupun majlis keramaian yang mengumpulkan kerabat Diraja seluruh dunia.

Farah Diba bersama anaknya, Reza Pahlavi, menantu dan cucu-cucunya. Sumber gambar: Instagram Noor Pahlavi

Pada usia 83 tahun, Fara Diba kini aktif dalam hal kemanusiaan sebagai contoh dia menyokong Gala Tahunan Alzheimer IFRAD (Pengumpulan Dana Antarabangsa untuk Penyakit Alzheimer) yang di adakan di Paris.

Mungkin ada yang tertanya, tanya mengapa keluarga Diraja ini sangat dibenci oleh rakyat Iran ketika itu sehinggakan membawa kepada revolusi. Menurut laporan Washington Post, budaya rasuah sangat buruk ketika Iran dibawah Dinasti Pahlavi sehinggakan membawa kepada ketidakstabilan ekonomi.  Perkara ini menyebabkan sentimen anti-monarki menebal sehingga jatuhnya sebuah keluarga Diraja.

+++ Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti telegram rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

Published by
Fiezreen