Impian memiliki segulung ijazah pastinya ada dalam hati semua orang.
Walaupun bergelar selebriti, pelakon dan penyanyi, selebriti juga membuktikan mereka mampu membahagikan masa antara masa peribadi, karier dan pendidikan.
ARTIKEL BERKAITAN : 7 Selebriti Muda Buktikan Artis Pun Pentingkan Pelajaran & Educated!
Cukup membanggakan apabila 28 penggiat seni yang juga penuntut semester akhir Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Industri Kreatif, Universiti Utara Malaysia (UUM) menerima Anugerah Dekan.
Anugerah itu disampaikan dalam sebuah majlis yang diadakan di sebuah hotel terkemuka di ibu negara baru-baru ini. Antara selebriti tanah air yang tersenarai adalah Fattah Amin, Tomok, Amir Masdi, Aril Pilus, Pekin dan Haziq AF.
Pekin ketika ditemui meluahkan perasaan syukur dan gembira dengan pencapaian yang diraih setelah berhempas-pulas membahagikan masa antara pelajaran dan tuntutan kerjaya sebagai pelakon, pengarah serta penerbit.
“Semuanya bergantung kepada diri sendiri, sama ada mahu teruskan belajar atau tidak. Usia dan kekangan kewangan bukan penghalang untuk seseorang itu berjaya dalam bidang akademik.
“Selepas enam tahun bergelut membahagikan masa antara pelajaran dan kerja industri, akhirnya saya berjaya menerima Anugerah Dekan. Insya-Allah saya akan bergelar graduan UUM pada majlis konvokesyen yang diadakan tahun depan,” katanya.
Sementara itu, Amir pula menyifatkan penat lelahnya sepanjang pengajian terbalas dengan penganugerahan tersebut.
“Meskipun masih berbaki satu semester sebelum tamat pengajian, saya gembira dengan pencapaian ini. Saya berusaha untuk habiskan pelajaran agar dapat menghadiri konvokesyen bersama rakan-rakan lain pada tahun depan.
“Saya berterima kasih kepada keluarga yang banyak membantu dalam menguruskan jadual kerja dan belajar saya,” katanya.
Malah, dilaman instagram pelakon dan finalis Hero Remaja 2011/2012, Fattah Amin turut berkongsi momen indah tersebut.
Kesemua selebriti tersebut adalah antara lebih 40 pelajar bidang berkenaan yang mengikuti program pengajian jarak jauh (PJJ) yang dilaksanakan selama sembilan semester bermula 2015 hingga 2020.
Ternyata, pendidikan penting buat semua untuk lebih matang berfikir dan menentukan hala tuju karier. Kalau mereka boleh buat, korang pun boleh!
Sumber : (1)
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti telegram rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.