Tak cukup masa nak tonton kesemua drama terbaru pada minggu ini. Tapi demi Hero Remaja, kami sanggupkan juga!
Siapa sangka, sekali lagi beberapa pelakon yang pernah bergelar finalis Hero Remaja kembali ‘bertarung’ rating untuk drama tempatan. Jika dulu kita pernah melihat Syafiq Kyle dan Saharul Ridzwan saling menemui penonton pada waktu yang sama, kali ini 4 orang Hero Remaja akan merebut tontonan korang pada setiap minggu.
Fattah Amin, Kamal Adli dan Alif Muhaimin melakukan comeback pada minggu ini sementara Syafiq Kyle meneruskan momentum selepas drama Nur 2.
Siapa yang korang nak tonton?
Cetera Hati Diya
Sudah lama kita tak saksikan Fattah Amin membuat kemunculan di saluran TV3. Selalunya lakonan Fattah hanyalah untuk slot megadrama Astro RIA seperti Suri Hati Mr Pilot, Hero Seorang Cinderella dan Coffee Prince.
Jadi, comeback Fattah melalui slot Samarinda ini adalah antara yang dinanti-nantikan oleh peminatnya. Lebih menarik apabila pelakon berusia 29 tahun itu digandingkan dengan salah seorang bekas finalis Dewi Remaja 2009/2010 iaitu Azar Azmi.
Melalui Cetera Hati Diya yang diadaptasi daripada novel ‘Isteri Aku Kalis Cinta’, Diya (Azar) fobia dengan lelaki disebabkan peristiwa hitam. Zahil (Fattah) cuba untuk memenangi hati Diya dengan pelbagai cara. Ini termasuklah bertanggungjawab atas kesalahan adik tirinya, Zakuan (Azrel Ismail) yang memperkosa Diya.
View this post on Instagram
Cetera Hati Diya malam ini jam 10. Hanya di @tv3malaysia @dramasangat #dramasangat #ceterahatidiya
Bukan Cinta Aku
Selepas fenomena drama Nur 2 bulan lalu, Syafiq Kyle kembali lagi ke slot Akasia bersama Janna Nick, Baim Wong dan Mimi Lana. Kali ini menerusi drama Bukan Cinta Aku yang sudah memasuki episod kesembilan hari ini.
Ia mengisahkan Rania (Janna) yang baru menamatkan pelajaran dan pulang untuk bersama keluarga di Florence Itali (wow!). Rania jatuh cinta dengan pemandu keluarganya, Arjuna (Baim) dan masing-masing cuba menyembunyikannya daripada pengetahuan ibu bapa Rania.
Apabila Rania dan Arjuna perlu pulang ke Malaysia kerana masalah perniagaan keluarga, rupa-rupanya ibu bapa Rania mempunyai pelan menjodohkan Rania bersama Tengku Isma (Syafiq). Mereka berdua sudah mempunyai kekasih dan membuat perjanjian supaya mengikut saja kehendak keluarga tanpa komitmen.
Kiranya macam open relationship lah ni. Sejauh mana hubungan ini boleh bertahan?
Setelah Terlafaznya Akad
Wow, 2 orang lagi Hero Remaja kembali membuat kemunculan di slot drama utama melalui Setelah Terlafaznya Akad. Kamal Adli dan pelakon wanita utama, Uqasha Senrose terlebih dahulu menemui penonton menerusi telemovie Boyfriend Dari Neraka (Astro Ria).
Drama yang mula ditayangkan pada jam 10 malam ini di slot megadrama Astro Ria juga menampilkan Hero Remaja 2017, Alif Muhaimin yang popular menerusi drama Tak Ada Cinta Sepertimu.
Setelah Terlafaznya Akad menceritakan mengenai Hanan (Kamal) yang dipaksa kahwin dengan Nawal (Uqasha) selepas bercerai. Hati Hanan tetap teringatkan bekas isterinya, Hani (Zeera Azizi) dan anak Qalish. Ketika Hanan cuba ingin dapatkan Hani, Nawal banyak terluka dan akhirnya turut diceraikan.
Barulah pada waktu itu, Hanan sedar amat memerlukan Nawal kerana dia melengkapi hidupnya.
*
Tiga kisah cinta, tiga drama berbeza dan empat Hero Remaja.
Siapa yang akan memenangi rating penonton drama?