Kekeluargaan

#Fattzura Berakhir: Fattah Dan Fazura Sah Cerai Talak Satu, Sebak Keluar Dari Mahkamah

Share

Selepas tujuh tahun cuba mempertahankan mahligai perkahwinan yang dibina, rumah tangga pasangan pelakon; Fattah Amin, 34 dan Nur Fazura, 41 berakhir hari ini dengan penceraian talak satu.

Lafaz cerai telah dilakukan di hadapan Hakim Syarie, Abdul Malik Soleh kira-kira jam 9.45 pagi tadi tadi di Mahkamah Rendah Syariah Petaling, Subang Bestari.

Ketika ditemui di luar mahkamah, kedua-dua pihak memaklumkan bahawa mereka telah mencapai persetujuan untuk bercerai talak satu kali pertama.

Masing-masing turut mencapai persetujuan bagi perjanjian nafkah idah dan nafkah anak perempuan mereka, Nur Fatima Aisya yang kini berusia 4 tahun.

3 Punca Penceraian Menurut Fazura

Menurut Nur Fazura dalam sidang media di sini ketika ditanya mengenai punca penceraian, beliau menamakan 3 faktor utama.

Yang pertama adalah dakwaan Fattah telah mengabaikan pemberian nafkah terhadapnya dan anak, Fatima sejak empat tahun yang lalu termasuklah duit raya kedua beranak itu.

Keretakan rumah tangga juga disahkan berlaku disebabkan orang ketiga yang dapat dihidu sejak bulan Ogos. Namun, perlakuan curang bersama individu yang didakwa sebelum ini bermula sejak awal tahun ini.

Terakhir, Fazura juga dalam nada sebak menyatakan faktor ketidaksefahaman antara mereka berdua menjadi punca terakhir penceraian berlaku. Menurut Fazura, dirinya sudah lama tidak bahagia, emosinya terganggu dan mentalnya tertekan untuk mempertahankan rumah tangga walaupun pelbagain tohmahan dilontarkan terhadapnya.

Dalam pada itu, kedua-dua pihak akan menyelesaikan soal hak penjagaan anak mereka itu di Mahkamah Tinggi menerusi pemfailan kes baharu.

Terdahulu, Fazura dan Fattah mendirikan rumah tangga pada 27 November 2017. Pada 3 September 2024, Fazura memfailkan cerai terhadap Fattah di Mahkamah Rendah Syariah Petaling, Subang Bestari.

Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup?

Ikuti TelegramInstagramTikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.

Published by
FZ