“Geram… Sebagai Seorang Ibu, Memang Saya Sangat Sakit Hati” -Nur Fazura Luah Rasa Kecewa

Share

“Geram dan sakit hati…”

Itulah luahan perasaan yang dilontarkan pelakon dan usahawan terkenal, Nur Fazura berhubung kes penderaan kanak-kanak di taska yang semakin menjadi ‘barah’, pada masa ini.

Pesan pelakon filem popular Pisau Cukur itu, pemilik taska perlulah lebih berhati perut dan jangan mementingkan keuntungan semata-mata.

ARTIKEL BERKAITAN: Akui Mudah Percayakan Orang, Fazura Jadikan Kes Pecah Amanah Sebagai Pengajaran & Lebih Berhati-Hati

“Geram dan sakit hati sebab kebelakangan ini, banyak sangat isu bila ibu bapa hantar anak ke taska tapi, dalam masa singkat, tiga hari atau sebulan, anak-anak cedera kena pukul sampai meninggal dunia apa semua.

“Pesanan untuk semua yang nak bekerja di taska atau nak buka taska dan sebagainya, kalau tak nak jaga anak orang, tak payahlah jaga. Tolonglah. Kita dahlah penat melahirkan dan membesarkan anak. Dan, ada di antara kita yang menunggu zuriat bertahun-tahun. Hantar ke taska dua tiga hari, sampai cedera teruk.

“Baru-baru ini, sampai tempurung kepala cedera, koma dan ada yang meninggal dunia. Terbaharu, kurung anak-anak kecil di dalam bilik sempit tanpa diberikan makanan dan sebagainya,” tuturnya.

Perkara tersebut diluahkan Fazura menerusi sebuah hantaran video yang dimuat naiknya di platform Tiktok.

Selain itu, ibu kepada seorang cahaya mata itu turut menasihatkan mereka yang terlibat agar tidak mementingkan diri sendiri dan mendapatkan rezeki dengan cara yang halal.

“Nak cari rezeki, tolonglah dengan cara yang berkat dan ikhlas. Kalau tak nak kerja jaga bayi, tolonglah cari kerja lain. Tak tahulah. Saya memang sangat-sangat kecewa dan sakit hati. Sebagai seorang ibu, memang saya sangat sakit hati.

“Jadi, siapa yang nak jadi pengasuh ke apa, ataupun nak buka taska, tolonglah upah orang-orang yang betul-betul ikhlas,” katanya lagi.

Sebelum ini, tular hantaran artikel bergambar yang dimuat naik menerusi akaun Facebook “EL Ameerah” berkaitan kecederaan yang dialami kanak-kanak perempuan berusia satu tahun semasa berada di sebuah taska.

Dedahnya, anaknya yang berusia satu tahun itu diletakkan di dalam bilik kosong yang tidak beralas walaupun telah dibekalkan dengan selimut. Lebih mengejutkan, dia diberitahu pemilik taska bahawa ruangan itu adalah bilik ‘isolasi’ sementara buat kanak-kanak berusia satu hingga dua tahun.

Media turut melaporkan ibu kanak-kanak itu akan mengambil tindakan undang-undang terhadap taska tersebut yang didakwa mengabaikan anaknya yang ditinggalkan bersama beberapa orang kanak-kanak lain di sebuah bilik tanpa pengawasan.

+++Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.

SUMBER: Tiktok Fazura & Facebook El Ameera

Published by
Fath