Kerana pulut santan binasa, kerana mulut badan binasa…
Tindakan Fernanda Pavisic memuat naik sebuah rakaman video di InstaStory sambil memberi komen kurang enak terhadap peserta-peserta Miss Universe 2022 telah memberikan kesan buruk kepada dirinya apabila kemenangannya telah ditarik balik dan dia hilang hak untuk mewakili Bolivia ke pertandingan Miss Universe 2022 yang bakal diadakan di Amerika Syarikat pada Januari tahun hadapan.
Dalam video tersebut dapat dilihat Fernanda bersama temannya sedang menatal halaman Organisasi Miss Universe yang menampilkan headshot wakil dari seluruh dunia. Pastinya setiap peserta menghantar ganbar terbaik mereka agar menarik perhatian.
ARTIKEL BERKAITAN: “Kita Ada Calon Yang Baik,” – Elaine Daly Berkongsi Kisah Tentang Hatta Dolmat, Lesley Cheam Dan Kerjaya
Namun tindakan Fernanda yang kurang menyenangkan itu seolah-oleh menjatuhkan wakil negara lain yang juga bertentangan dengan konsep women empowerment yang dilaungkan oleh organisasi tersebut. Antara komen yang diberikan adalah dia menyatakan yang perserta dari Ecuador, Aruba dan Curaco hanyalah sekadar datang untuk mememeriahkan pertandingan.
Dia juga menggelar perwakilan dari Venezuela dan Peru sebagai individu yang menyerupai golongan transgender. Perkara itu menjadi satu penghinaan kerana pemilik Organisasi Miss Universe yang baharu, Anne Jakrajutatip merupakan seorang wanita transgender.
Selain itu dia turut memberi gelaran kepada wakil dari Argentina sebagai Miss Potoni, kata-kata yang seolah-olah menghina wanita dari kota Potoni yang terletak di Bolivia Selatan. Lebih menyedihkan, dia turut menggelar wakil Paraguay, Brazil dan El Salvador sebagai perempuan tua.
Sejurus video tersebut menjadi tular, Promociones Gloria yang merupakan organisasi pemegang lesen Miss Universe Bolivia telah mengumumkan tentang penarikan semula mahkota yang dimiliki oleh Fernanda Pavisic. Kini mereka telah mengumumkan pemenang tempat kedua Miss Universe Bolivia 2022, Maria Camila Sanabria Pereyra bakal menggantikan Fernanda dan bergelar Miss Universe Bolivia yang baharu. Sebelum ini dia pernah mewakili Bolivia di pertandingan Miss Grand International 2022.
Tidak dapat menerima penarikan semula gelarannya, Fernanda telah memberi kenyataan bahawa video yang dimuat naik di InstaStorynya merupakan satu eksperimen sosial. Namun alasan yang diberikan itu langsung tidak masuk akal dan membuatkan warganet mengecam tindakan dan alasannya itu.
Begitulah kehidupan, terlajak perahu boleh diundur, terlajak kata buruk padahnya. Semoga insiden ini menjadi pengajaran bukan sahaja kepada Fernanda malahan kepada semua ratu cantik yang lain agar tidak melakukan perkara yang boleh mengundang persepsi negative apatah lagi komen yang dibuat menjatuhkan maruah wanita lain.
+++Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.
Sumber: YouTube Rina Hendricks, Philstar