Filem Biopik Anita Mui Kongsi Kisah Perjalanan Kisah Duka Primadona Hong Kong

Share

Anita Mui merupakan satu nama yang tidak perlu diperkenalkan lagi, khususnya buat generasi 80-an dan 90-an yang membesar dengan karya seni selebriti dari Hong Kong ini.

Pemilik nama sebenar Mui Yim Fong ini pernah meraih beberapa anugerah dan pencapaian terbaik sepanjang karier beliau dalam industri hiburan kira-kira 20 tahun yang lalu.

Mendiang Anita Mui meninggal dunia di usia yang agak muda, iaitu 40 tahun kerana kanser ovari. Perjalanan hidupnya kini difilemkan dengan menampilkan latar tempat di Hong Kong dari tahun 1980-an hingga 1990-an.

Filem Anita menyingkap kisah perjalanan biduanita hebat ini menempuh segala pahit manis sepanjang bergelar anak seni. Ia menceritakan kisah Anita sewaktu kecil lagi sehingga beliau didiagnos kanser ovari pada tahun 2003.

Peminat dapat mengimbau kembali zaman kegemilangan Anita Mui di dalam filem ini dan mungkin ada juga yang tidak pernah mengetahui kisah sebenar yang berlaku disebalik kehidupan figura ini.

Filem yang dibintangi oleh barisan pelakon seperti Louise Wong, Louis Koo, Terrance Lau, Fish Liew, Gordon Lam ini juga memperlihatkan hubungan akrab antara Anita dan kakaknya, Ann Mui dan rakan selebriti Leslie Cheung yang juga turut terselit berita kematiannya akibat bunuh diri.

Apa yang menariknya, lakonan Louise Wong yang memegang watak sebagai Anita harus dipuji kerana karakter dan gayanya memang seakan sama seperti primadona itu.

Secara keseluruhannya, Anita dilihat sebagai seorang lagenda Hong Kong yang merupakan wanita hebat, tabah dan tidak banyak menyerlah dengan kisah sensasi. Penonton akan dibawa dengan pelbagai emosi suka duka melihat kisah sebenar aktres ini.

Nah, tak perlulah kami nak cerita panjang lagi, korang boleh saksikan sendiri filem Anita di seluruh pawagam tanah air bermula 12 November ini.

Published by
Noor Ain Norman