Filem Daulat Terima Pujian, Vanidah Imran Dianggap Layak Menang Anugerah

Share

 

Tidak lama dahulu, filem berjudul Daulat pernah viral setelah klip trailer pertamanya dimuat naik.

Berkisarkan jalan cerita political thriller yang pernah dipopularkan oleh beberapa drama dan filem Barat seperti House of Cards dan The Ides of March, ramai yang pantas menunding jari terhadap Daulat.

Kata mereka, filem arahan Imran Sheik ini mempunyai persamaan dengan keadaan politik Malaysia. Tambahan pula dengan tarikh tayangannya yang menemui penonton di iflix semalam, masih ramai penonton yang teringat akan situasi perubahan tampuk politik Malaysia awal tahun ini.

Namun di sebalik cakap-cakap tersebut, ramai yang memuji kehebatan Daulat dari segi jalan cerita, dialog para pelakonnya, sinematografi dan tentunya, lakonan hebat daripada mereka semua!

Daulat mengisahkan Presiden MUNA, Hassan (Tony Eusoff) yang baru mengalami kekalahan dalam Pilihan Raya Umum dan mengambil keputusan melantik Suri (Vanidah Imran), anak didik beliau sebagai Timbalan Presiden parti.

Suri digambarkan sebagai seorang yang sanggup melakukan apa sahaja asalkan matlamatnya tercapai. Ini termasuklah memastikan MUNA merampas kembali kemenangan dalam Pilihan Raya Umum seterusnya walau dengan apa juga cara sekalipun.

Filem yang memaparkan sisi gelap dunia politik ini turut membariskan pelakon hebat tanah air seperti Rashidi Ishak dan Cristina Suzzane, Zul Zamir dan Jasmine Suraya Chin

Ia juga pantas mendapat sambutan penonton Malaysia semalam sehinggakan nama Vanidah Imran serta Daulat menakhluki tangga carian tertinggi di Twitter.

Ternyata lakonan kak Vee masih berbisa sehinggakan ramai netizen yang menyifatkan beliau layak diangkat sebagai Pelakon Wanita Terbaik pada anugerah yang berlangsung pada tahun ini.

 

Menurut Imran Sheik menerusi temuramah Bersama Harian Metro terdahulu, Lacuna Pictures dan iflix sememangnya mahu menyajikan rakyat Malaysia dengan naskhah ini sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan.

Imran bagaimanapun menolak sebarang persamaan yang ada di antara Daulat dan situasi semasa politik Malaysia.

“Untuk menjadi sebuah karya itu realistik, tentulah kita perlu menyesuaikan jalan cerita dengan pemahaman masyarakat kita. Kita tidak boleh mengambil situasi politik Amerika Syarikat dan menyelitkannya dalam filem Malaysia. Bagaimanapun, ia hanyalah reference point.

Tiada niat untuk kami wujudkan sebarang persamaan kerana Daulat ialah karya fiksyenal.”

Haa, korang dah tonton ke belum? Kalau sudah, apa pula pandangan korang?

Kami sendiri merasakan filem ini ada potensi untuk dijadikan sebagai sebuah drama bersiri political thriller agar penonton lebih puas menonton. Lagipun, setiap watak yang ditonjolkan mempunyai jalan cerita yang amat menarik.

Amacam tuan pengarah? Hehe..

Published by
Noor Ain Norman