Filem Malaysia Pertama Menang Di Cannes Critics Week, ‘Tiger Stripes’ Cipta Sejarah!

Share

Festival Filem Cannes yang berlangsung di selatan Perancis pada setiap tahun sudah pasti memartabatkan naskah-naskah filem terbaru dan terhebat dari seluruh dunia.

ARTIKEL BERKAITAN : Gaun Glamor Berlumur ‘Darah’! Wanita Bikin Kecoh Di Cannes Demi Perjuangkan Ukraine

Tahun ini, ada khabar gembira dari anugerah berprestij dunia, Festival Filem Cannes ini apabila filem tempatan kita iaitu Tiger Stripes kini telah mencipta sejarah sebagai filem pertama yang berjaya memenangi hadiah utama di Semaine de la Critique (Cannes Critics’ Week) yang merupakan acara sampingan.

Amanda Nell Eu yang juga merupakan pengarah Malaysia dan Asia Tenggara pertama yang memenangi hadiah utama €10,000 (RM49,622).

Filem ini juga bersaing untuk hadiah Camera d’Or, anugerah untuk filem cereka pertama terbaik yang dipersembahkan dalam salah satu pilihan Cannes (Official Selection, Directors’ Fortnight, dan International Critics’ Week).

Filem ini juga dibintangi oleh Zafreen Zairizal, Deena Ezral dan Shaheizy Sam.

Sinopsis Filem Tiger Stripes 

Tiger Stripes mengisahkan tentang Zaffan, seorang remaja berusia 12 tahun yang berjuang untuk memahami tubuhnya yang mengalami akil baligh dan kemudian bergelut dengan perubahan fizikal dirinya.

Zaffan dipulaukan oleh masyarakat kerana dianggap pelik. Selepas membuat keputusan untuk melawan rasa takut dan menerima semua keanehan tentang dirinya, Zaffan mula berubah dan muncul sebagai seorang wanita yang kuat.

Filem ini merupakan terbitan bersama antara 8 wilayah termasuk Malaysia, Singapura, Taiwan, Perancis, Jerman, Belanda, Indonesia dan Qatar. Tiger Stripes juga adalah filem cereka Malaysia keempat di Cannes, dan yang pertama sejak 2010.

Cayalah…Tahniah kami ucapkan kepada semua yang terlibat dengan pembikinan filem ini!

Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti telegram rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.

Published by
Nana