Filem Onward Bawa Mesej Kekeluargaan Yang Boleh Bikin Penonton Nangis

Share

Walt Disney Pictures menampilkan sebuah lagi filem animasi terbaru yang berjudul Onward. Diarahkan oleh bekas pengarah Monsters University, Dan Scanlon, filem ini membariskan pelakon hebat seperti Tom Holland, Chris Pratt, Julia Louis-Dreyfus, Octavia Spencer sebagai pelakon alih suara.

Mengisahkan tentang Ian dan Barley Lightfoot yang merupakan adik beradik bunian yang tinggal di pinggir bandar sebuah dunia fantasi, di mana manusia tidak wujud. Sebaliknya ia didiami oleh makhluk seperti bunian, troll, ikan duyung dan macam-macam lagi. Suatu hari, kedua-dua remaja itu memulakan pengembaraan demi meneroka jika masih ada lagi kuasa magik di dunia.

Mereka berharap untuk menggunakan kuasa magik bagi meluangkan masa sehari bersama bapa mereka, yang meninggal ketika mereka masih kecil. Apabila salah seorang daripada mereka cuba menghidupkan semula bapa mereka menggunakan satu sihir, hanya bahagian bawah badan bapa mereka yang muncul. Memandangkan sihir itu hanya bertahan selama 24 jam, mereka perlu mencari jalan untuk mengembalikan bahagian atas badan bapa mereka sebelum terlambat.

Walaupun penulis tidak begitu gemar dengan genre animasi, pada mulanya memang agak tertanya-tanya adakah filem ini mampu menghiburkan? Namun, setelah mengikuti perkembangan jalan cerita, boleh kami katakana filem Onward ini adalah antara yang berbaloi untuk ditonton.

Nilai kekeluargaan yang ditampilkan dalam filem ini berjaya mengusik emosi kami apabila melihat situasi dua beradik yang terlalu ingin untuk berjumpa dengan ayah mereka yang sudah lama meninggal dunia. Pengembaraan mereka untuk mencari batu ‘hikmat’ semata-mata untuk menghidupkan semula ayahnya selama sehari bakal membuatkan penonton sebak. Kami boleh merasakan bagaimana rasa rindu mereka pada ayah yang telah tiada.

Kalau nak cakap pasal logik memanglah tidak, tetapi filem ini memberi mesej kekeluargaan yang sangat jelas tentang bagaimana untuk menjaga hubungan baik bersama adik-beradik. Kalau agak-agak ada yang tengah bergaduh dengan adik-beradik tu, korang wajib tengok filem ni okay? Hiks!

Onward bakal ditayangkan di seluruh pawagam tanah air bermula 5 Mac nanti.

Published by
Noor Ain Norman