Filem Review – Bad Genius, Realiti Tidak Semudah A,B,C

Share

Bukan selalu filem Thailand dibawa untuk tayangan di negara kita. Kebiasaan yang dibawa masuk pastinya mencapai tahap box office di negara mereka. Begitu juga dengan Bad Genius, filem yang meraih tahap box office hanya dalam masa dua minggu pertama dengan kutipan lebih THB100 juta. Ia sekali gus menjadikannya sebagai filem terlaris di Thailand setakat ini buat tahun 2017.

Sebelum melangkah kaki ke dalam panggung wayang untuk menonton Bad Genius, harapan yang diletakkan untuk filem ini tidaklah terlalu tinggi. Dalam fikiran, ia mungkin sebuah lagi nashkah karya Thailand yang memaparkan kisah cinta remaja di zaman persekolahan yang berdepan dengan pelbagai cabaran tipikal; hubungan, pelajaran, persahabatan dan keluarga.

Namun sangkaan itu jauh meleset sama sekali. Karya arahan Nattawut Poonpiriya ini cukup ‘licik’ mengetengahkan plot utamanya dan plot sampingan yang disempurnakan oleh barisan pelakon muda yang cukup berbakat. Secara halusnya Bad Genius turut membawa premis perbezaan kelas di antara golongan kaya serta berpengaruh dan juga golongan bawahan yang cukup struggle demi mendapatkan pendidikan terbaik.

Bad Genius membawa kita menelusuri kehidupan Lynn, seorang pelajar genius yang datang dari sebuah tidaklah berapa senang. Dia diterima masuk ke sebuah sekolah berprestij dan berjaya mendapatkan biasiswa. Kerja keras bapanya membawa Lynn mendapatkan pendidikan terbaik tercapai, namun segalanya tidak semudah itu.

Sebagai seorang pelajar yang genius Lynn sentiasa mencatatkan keputusan cemerlang. Namun ia berbeza dengan rakan-rakannya yang tidak berapa pandai tetapi memiliki kesenangan hidup; datang dari famili yang kaya. Rakan baiknya, Grace berdepan kesukaran untuk belajar dan berdepan dengan peperiksaan. Atas dasar kasihan, Lynn mula memberikan jawapan untuk Grace menirunya semasa peperiksaan. Dan ituklah detik permulaan di mana Lynn menyedari kemahirannya boleh digunakan untuk dia mendapatkan wang, sekali gus fikirnya; dapat meringankan beban bapanya.

Bermula dari seorang hinggalah menjadi besar, ‘klien’ Lynn diajar olehnya untuk belajar bahasa isyarat dengan gerakan jari nota piano. Dari situ, Lyn tidak menoleh ke belakang lagi sehinggalan dia sanggup terbang ke luar negara bagi membantu rakan-rakannya lulus peperiksaan kemasukan universiti antarabangsa dikenali sebagai STIC.

Apa yang menarik perhatian Remaja ialah kebolehan lakonan pelakon utamanya, Chutimon Chuengcharoensukying menggalas yang cukup hidup melakonkan karakter Lynn. Yang membuatkan kami cukup kagum lagi, ini merupakan filem pertama lakonannya yang sebelum ini bergelar sebagai peragawati/model terkenal di Thailand.

Bad Genius merupakan filem antarabangsa yang terbaik kami tonton sepanjang 2017! Go watch it now!

Rating – 4/5

Published by
Farizul Izwany Ibrahim