Susulan kemenangan wakil daerah Makati, Michelle Dee Marquez di pentas ratu cantik berprestij, Miss Universe Philippines 2023 pada 13 Mei lalu, Michelle tidak menunggu lama untuk mendedahkan rahsia yang disimpan olehnya daripada pengetahuan umum selama ini.
Menerusi muat naik video terbaru di akaun rasmi YouTube miliknya, Michelle mengaku mengenai orientasinya sebagai seorang biseksual dan tidak gentar dengan pandangan orang lain sebelum melangkah ke pentas Miss Universe kelak.
Michelle sekaligus menjadi wakil Filipina kedua daripada kalangan LGBTQ+ ke pentas Miss Universe selepas Beatrice ‘Bea’ Luigi Gomez melakukannya pada tahun 2021 dan menduduki tangga Top 5.
ARTIKEL BERKAITAN: Calon LGBT Ini Wakili Filipina Ke Miss Universe 2021? Tapi Memang Cantik Pun – REMAJA
Sebagai info, Michelle sudah diramal sebagai bakal juara Miss Universe Philippines 2023 oleh pemerhati dunia ratu cantik sejak awal pertandingan lagi.
Begitupun, ramai yang terkejut dengan pendedahan ini kerana dia tidak pernah bercerita mengenai secara terbuka kecuali kepada ahli keluarga terdekat seperti ibunya, Melanie Marquez yang merupakan personaliti terkenal di Filipina.
Tambahan pula, Filipina masih merupakan negara yang majoriti penduduknya menganuti agama Kristian Roman Katolik dan masih bersifat konservatif terhadap soal LGBTQ+.
“Saya tertarik kepada semua jenis kecantikan, bentuk dan saiz. Saya sentiasa mengetahui mengenai orientasi saya sebagai biseksual, ibu saya juga mengetahui. Namun saya mengambil keputusan untuk tidak menceritakannya sewaktu pertandingan ratu cantik kerana masanya tidak tepat,” kata model dan pelakon berambut pendek itu.
Keputusan Michelle itu nyata bersifat strategik kerana dia hanya inginkan juri dan organisasi fokus terhadap potensi serta persembahannya di atas pentas. Sekiranya membuka mulut terlebih awal, pandangan segelintir daripada mereka terhadapnya mungkin akan dikaburi oleh soal orientasi seksual.
Rata-rata peminat Michelle Dee dan penyokong Filipina ke Miss Universe meramalkan Michelle bakal membawa semula zaman kegemilangan Filipina sebagai sebuah negara ‘powerhouse’ dunia ratu cantik.
Ia susulan keputusan tercorot mereka di Miss Universe 2022 menerusi wakil berdarah kacukan Itali-Filipina, Celeste Cortesi yang gagal menempah kedudukan separuh akhir; kali pertama seumpamanya dalam tempoh 12 tahun penyertaan Filipina di Miss Universe.
ARTIKEL BERKAITAN: Pengarah Nasional Filipina Akhirnya Komen Tentang Kegagalan Celeste Cortesi Di Miss Universe 2022 – REMAJA
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti telegram rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.