Juara Miss Eco International yang baharu telah pun diumumkan sebentar tadi. Wakil dari Filipina, Kathleen Paton yang tampil mempesona dan cerdas telah memukau perhatian para juri lantas berjaya membawa mahkota tersebut pulang ke negaranya.
Dia dimahkotakan oleh pemenang Miss Eco International 2020, Gizelle Uys dan diperhatikan oleh pemegang lesen Miss Eco International, Dr Amaal Rezk. Wakil dari Belgium dan Amerika Syarikat pula berada dalam kedudukan tempat kedua dan ketiga. Miss Eco International membawa isu-isu tentang kesedaran pentingnya menjaga alam sekitar untuk kehidupan yang lebih baik.
Ketika sesi soal jawab di peringkat top 5 bagi menentukan juara, Kathleen telah ditanya,“Sebagai pemegang gelaran, anda seorang tokoh masyarakat. Adakah penting untuk kekal neutral dalam isu sosial yang kontroversi atau menggunakan gelaran anda untuk mempromosikan kepercayaan anda sendiri, dan mengapa?
“Sejujurnya itu adalah soalan yang sukar kerana kita berada di barisan utama yang berdepan dengan pendapat dan negativity setiap hari, terutamanya di media sosial. Saya percaya sebagai seorang pemimpin dan sebagai seseorang yang sangat berpengaruh dalam masyarakat, kita kadang-kadang terpaksa menggunakan suara kita dalam keadaan fikiran yang sangat neutral kerana kita mempunyai kedudukan yang sangat berpengaruh.
“Tetapi dalam berbuat demikian kita juga perlu menggunakan suara kita untuk mendorong orang lain untuk mempertahankan apa yang betul, dan saya fikir ia memerlukan banyak usaha terutama dalam menonjolkan kompas moral yang terbaik,” jawabnya bernas.
Wakil Malaysia, Prasana Shri menamatkan perjuangannya di kedudukan kelima dan pada malam tersebut dia turut dinobatkan sebagai pemenang Best Eco Dress. Satu pencapaian yang cukup membanggakan. Sebelum ini di pusingan awal, dia telah pun dinobatkan sebagai pemenang Miss Elegant dan juga Best Evening Gown.
Prasana ketika berada dalam sesi soal jawab top 5 telah menerima soalan tentang apakah kualiti terbaik yang ibu bapa boleh ajar kepada anak-anak mereka. Jawab wanita berusia 25 tahun ini, “Kualiti terbaik yang boleh diajar oleh ibu bapa kepada anak-anak mereka ialah rasa hormat. Hormat antara satu sama lain, hormat semua orang di sekeliling kita dan alam sekitar, dunia. Selain daripada itu, mereka harus mengajar mereka bagaimana menjadi baik, dan menjadi orang yang dipercayai kepada orang ramai.
“Kerana kita berada di dunia ini bersama-sama dengan orang di sekeliling kita. Jika kita tidak mempercayai dan menghormati mereka, tiada siapa yang akan menghormati kita. Sentiasa memberi dan menerima, dan menghormati semua orang.”
Syabas REMAJA ucapkan, dan semoga tahun hadapan wakil Malaysia akan membawa pulang gelaran juara pula.
+++Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti telegram rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.