Finalis Dewi Remaja Ini Tampil Bantu Pelajar UPSI Terkandas

Share

 

Setelah pihak kerajaan menerusi Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) memutuskan agar pembelajaran semester baharu di Institut Pengajian Tinggi (IPT) dilakukan secara dalam talian (online), para pelajar IPT seluruh negara nampaknya sedang bersiap sedia untuk pulang ke kampung halaman masing-masing demi mengurangkan lagi kos sara diri.

Keluhan hadir daripada pelajar yang tidak mampu untuk membiayai kos pengangkutan untuk pulang ke kediaman masing-masing. Lalu, beberapa pihak tampil ke hadapan untuk memberikan bantuan seperti yang dilakukan oleh penceramah bebas, Ebit Lew kepada pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI).

Kampus Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI)

Bagaimanapun, malang sekali apabila pihak IPT melaporkan bahawa bantuan yang cuba diberikan itu tidak mengikut operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan.

ARTIKEL BERKAITAN: Ebit Lew Mohon Maaf Kepada UPSI

Memahami situasi ini, Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) UPSI mengalu-alukan sebarang bentuk bantuan pengangkutan asalkan ia mematuhi SOP.

 

Finalis Dewi Remaja 2019 Tampil Ke Hadapan

REMAJA dihubungi oleh salah seorang finalis pencarian Dewi Remaja 2019 iaitu Nursyaza Azra yang merupakan pelajar jurusan Pentadbiran Awam di Fakulti Sains Pentadbiran & Polisi, Universiti Teknologi MARA Seremban untuk memaklumkan mengenai inisiatif yang sedang diusahakan olehnya.

Azra yang kini merupakan Presiden Mahasiswa – Dewan Usahawan Malaysia (MEC) tampil ke hadapan bersama badan bukan kerajaan (NGO) yang diwakilinya itu untuk membantu para pelajar di UPSI.

“NGO yang saya wakili, MEC bersama-sama Kelab belia Gagah (KBG) sekarang sedang mengusahakan urusan pengangkutan bas bagi para pelajar UPSI dan pelajar yang menetap berdekatan dengan UPSI untuk pulang ke kediaman masing-masing di Selangor dan Kuala Lumpur.

“Saya tahu keadaan berhubung situasi semasa pelajar di UPSI agak kecoh sekarang. Tapi ini tidak akan mematahkan semangat kami untuk membantu.

“Semalam, kami telah uruskan hal penempatan para pelajar Lembah Klang yang terkandas ini. Dan buat masa ini, kami memerlukan butiran daripada para pelajar UPSI untuk membantu lebih ramai pelajar yang sedang memerlukan pertolongan.

“InsyaAllah selepas ini, kami akan cuba mengulurkan bantuan pula kepada para pelajar UPSI dari bahagian lain pula seperti Pantai Timur,” jelas Azra lagi.

Apa yang REMAJA fahamkan, bantuan tersebut berjaya dilakukan dengan adanya tangungan oleh individu yang prihatin dengan inisiatif MEC ini. So guys, sekiranya korang mengenali pelajar UPSI yang memerlukan bantuan pengangkutan ini ataupun korang sendiri ialah pelajar tersebut, isikan saja BORANG INI agar mereka boleh membantu.

Untuk sebarang pertanyaan, korang boleh menghubungi Shahrul Nizam di talian +6011 2401-7264

Published by
FZ