InsyaAllah esok umat Islam bakal menyambut Ramadan, bulan yang senantiasa dinanti oleh seluruh kaum muslimin dan muslimat di seantero dunia. Namun, kali ini sambutannya tidak seperti tahun-tahun yang lalu kerana situasi pandemik COVID-19 nampaknya masih sukar dibendung.
Walau bagaimanapun, ia bukanlah alasan untuk umat Islam tidak gembira menantikan Ramadan tahun ini, malah turut memanjatkan kesyukuran kerana masih diberi peluang menikmati bulan yang mulia.
Sempena bulan puasa kali ini, apa kata kita ambil nilai-nilai positif tentang apa yang sudah berlaku di dunia masa kini. Inilah masanya korang memberi sepenuh fokus pada amal ibadah yang bakal dijalankan dan ambil peluang untuk bersama-sama keluarga tersayang dalam menjalani ibadah puasa.
Dengan situasi yang berlaku sekarang, kami pasti mesti korang merindui saat menyambut Ramadan seperti tahun-tahun lalu. Biasanya, apa yang korang paling rindu nak buat bila tiba bulan Ramadan?
Remaja sempat bertanyakan kepada beberapa finalis Hero Remaja 2017 tentang perkara yang paling mereka rindu untuk lakukan pada bulan puasa ini.
1. Alif Muhaimin
Bagi Alif, Ramadan kali ini memang berbeza dan tidak sama seperti tahun lalu. Alif akan merindui saat solat tarawih di masjid bersama-sama kawan sekolah. Biasanya, waktu inilah kami seakan membuat gathering bila berjumpa di masjid.
Alif juga selalunya akan workout dulu sebelum berbuka puasa. Jadi tahun ni, nampaknya kenalah workout di rumah sahaja. Alif juga nak ambil waktu ini untuk belajar benda baru, seperti bermain piano.
2. Harris Annuar
Setiap kali Ramadan, Harris bersama-sama dengan keluarga serta anak saudara akan berkumpul di rumah Mommy untuk bermain bunga api. Rasanya itulah yang akan dirindui untuk bulan Ramadan kali ini, selain dapat sama-sama melakukan solat Tarawih di masjid.
Pada 10 malam terakhir Ramadan pula, biasanya Harris akan ke Dataran Merdeka dan mana-mana lokasi yang menganjurkan bazar shopping raya. Hm, ya tahun ini kita semua tak merasa nak melalui pengalaman berasak-asak untuk membeli baju raya. Tapi mungkin ada hikmahnya yang kita tak tahu. Wallahualam..
3. Nabil Aqil
Rasanya semua orang akan rindu nak pergi bazar Ramadan. Macam Nabil sendiri, tidak dinafikan pada bulan puasa memang kami sekeluarga suka berkunjung di bazar Ramadan. Cuma nampak gayanya tahun ni tidak berpeluanglah melakukan aktiviti ‘wajib’ ini.
Tapi tidak mengapalah, Nabil masih bersyukur kerana kita juga masih boleh berhubung dengan keluarga dan rakan-rakan melalui Face Time, Whatsapp dan media sosial. Jadi, setidak-tidaknya hilanglah rindu dan tak rasa sunyi sangat menyambut Ramadan kali ini.
4. Safwan Nazri
Saya paling rindu nak berbuka puasa bersama keluarga besar saya, dengan saudara mara di Kedah dan juga rakan-rakan. Alhamdulillah, kebetulan memang saya ada di Kedah, jadi bolehlah berpuasa bersama ibu ayah dan adik-beradik.
Cuma saya nak berpesan kepada korang yang mungkin tidak dapat bersama keluarga di Ramadan ini, bersabarlah dengan dugaan yang diberikan. Mungkin ada hikmah dengan setiap apa yang berlaku sekarang. Harapnya Aidilfitri nanti kita sama-sama dapat berjumpa dan bermaafan.
5. Farhan Asri
Farhan teringin nak berbuka dekat masjid macam tahun sebelumnya. Nak berbuka dengan kawan-kawan dan paling rindu nak tarawih di masjid. Rindu juga nak pergi bazar Ramadan dengan keluarga. Selalunya Farhan pun akan berbuka puasa bersama atok dan nenek tapi tahun ni mereka ada di rumah mak cik di KL, so tak dapatlah kami bersama-sama puasa nanti. Itu yang paling sedih buat Farhan.
Apa-apa pun diharap Ramadan kali ini memberi pengertian penuh buat umat Islam di dunia dan sama-samalah kita berdoa agar wabak ini tidak terus menular supaya kita boleh bermaaf-maafan di Aidilfitri nanti.
Remaja juga ingin mengucapkan Selamat Menyambut Ramadan kepada semua pengikut kami di media sosial.