Uji bakat Dewi Remaja 2019 kali ini turut mendapat penyertaan daripada finalis Top 20 Pencarian Dewi Remaja tahun lalu.
Naina Zalee dan Nur Zahirah Xavier antara yang hadir dan cuba merebut sekali lagi peluang untuk beraksi di pentas Dewi Remaja.
Pastinya mereka sudah mempunyai pengalaman serta mengetahui sedikit sebanyak selok-belok perjalanan uji bakat dan ia menjadi mungkin menjadi salah satu kelebihan buat mereka.
Apa yang membuatkan mereka kembali semula menyertai uji bakat kali ini? Jom kita lihat komen daripada Naina dan Zahirah.
“Saya ni jenis tidak berputus asa dan suka mencuba. Selepas menjadi top 20 Dewi Remaja 2018, saya ada menyertai sebuah pertandingan lain dan telah memenangi gelaran ‘Miss Confident’ dan kerana itu menjadikan saya lebih bersemangat untuk kembali turut serta dalam Pencarian Dewi Remaja 2019,”
“Sebelum ini mungkin saya ada buat silap kerana tidak terpilih menjadi finalis, jadi kali ini saya akan memperbetulkan kekurangan itu daripada segi komunikasi dan keyakinan diri yang saya ada sekarang untuk ditunjukkan kepada barisan juri,” jelas Naina.
Ditanya apakah persediaan yang dibuat selama lebih kurang setahun untuk memperbaiki diri, Naina berkata pengalamannya di universiti menjadikan dia lebih banyak belajar untuk berkomunikasi dengan orang lain, serta lebih mendidik diri menjadi seorang yang berdisiplin.
“Di universiti saya menjadi fasilitator dimana saya ditugaskan untuk menggendali pelajar dan dari situlah saya belajar bagaimana cara berkomunikasi dengan baik dan menggalas tanggungjawab yang diberi. Saya juga dapat memperbaiki pergaulan bersama dengan individu lain. Jadi saya yakin, ini memberi kelebihan buat saya sekiranya terpilih menjadi finalis nanti,” sambungnya lagi.
Bagi Zahirah pula, minatnya yang sangat mendalam pada dunia hiburan membuatkan gadis dari Pulau Pinang ini sekali lagi mencuba nasib untuk menyertai sesi uji bakat kali ini.
“Saya percaya Dewi Remaja boleh menjadi platform untuk saya mengembangkan bakat dan saya yakin dengan kebolehan yang ada. Dari kecil lagi saya suka menonton Next Top Model, Runway dan selalu berangan nak jadi macam tu. So, saya try last year tapi tidak terpilih sebagai top 12. Saya tidak berputus asa sebab saya tahu gagal sekali tak bermaksud gagal selamanya,”
“Sepanjang tahun ini saya banyak buat photoshoot dan ada juga menyertai beberapa casting lakonan. Daripada semua pengalaman yang saya dapat, saya bawa ke casting Dewi Remaja tahun ini. mungkin masih ada cacat cela, but for me everyday is a learning process,”
Sudah pasti Zahirah menyimpan harapan untuk dipilih sebagai top 12.
“Saya tahu saya boleh buat lebih baik daripada yang sebelum ini. Saya nak buktikan dengan orang luar, kalau gagal sekali bukan bermakna gagal selamanya. Paling penting, usaha dan doa.” kata Zahirah.
Apa-apa pun kami mengucapkan selamat maju jaya buat semua peserta uji bakat Dewi Remaja 2019. Tidak kira sama ada korang berjaya atau tidak, yang penting korang dah cuba sedaya upaya untuk menggapai impian dan cita-cita.
Bagi yang tidak berjaya, korang boleh cuba lagi di minggu hadapan, 14 dan 15 September untuk sesi uji bakat minggu terakhir.
All the best girls!