Finalis Hero Dewi Remaja 2023, Adrina Kamaruddin tampil memberi pesanan kasih sayang buat para pelajar yang sedang menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), pada tahun ini.
Menurut gadis berusia 24 tahun itu, para pelajar yang bakal menduduki peperiksaan besar itu haruslah fokus untuk memperoleh keputusan yang cemerlang, pada masa sama tidak mengabaikan kesihatan mental.
ARTIKEL BERKAITAN: “Pastinya Rasa Bangga & Puas Hati” -Adrina & Evertts Gomes Genggam Gelaran ‘The Best Actor’ Bagi Cabaran Minggu Ini
“Tidak mengapa jika masih tiada lagi cita-cita, tetapi paling penting untuk sekarang ini adalah fokus SPM pertama sekali.
“Jika keputusan SPM anda cantik, nak memohon apa-apa pun mudah. Cuma fokus dengan satu perkara dan jangan tekan diri anda sehingga anda mengabaikan kesihatan mental.
“Kita tidak mahu juga melihat generasi muda kita akan datang menjadi depresi kerana tekanan dunia nak melihat kita menjadi seorang yang hebat. Kita tidak mahu perkara itu terjadi,” tuturnya.
Graduan Perubatan dari University Of Cyberjaya itu berkongsi perkara tersebut ketika sesi youth talk bersama pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Kampong Jawa, Klang menerusi program Remaja On Road, baru-baru ini.
Tambah Adrina lagi, dia turut menitipkan pesanan agar lakukan sehabis baik sebagai tanda penghargaan buat kedua ibu bapa menerusi pencapaian yang membanggakan kelak.
“Jadi untuk sekarang, pesanan saya adalah fokus sahaja dengan SPM anda. Buat yang terbaik dan banggakan ibu bapa anda.
“Kerana mereka sudah menghantar anda ke sekolah dan memberi yang terbaik kerana mereka mahu melihat anda berjaya. Jangan sia-siakan perkara itu okey, boleh janji…” ujarnya lagi.
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti telegram rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.