Nampaknya sejak semalam tular tentang nilai rampasan barangan kemas, jam tangan, duit tunai dan lain-lain barangan berjumlah RM900 juta – RM1.1 bilion dari enam kediaman milik bekas Perdana Menteri, DS Najib Tun Razak yang nyata amat mengejutkan rakyat Malaysia.
Biar dihimpit dengan pandangan sinis rakyat Malaysia yang “bergelut” dengan pelbagai hutang piutang, dalam satu temuramah dengan portal Malaysiakini, DS Najib memberitahu, nilai barangan terutamanya barang kemas yang dirampas oleh pihak polis adalah subjektif dan tidak realistik.
Menurut Najib, nilai bagi barangan yang dirampas itu subjektif kerana terdapat batu pada barang kemas yang dirampas itu berusia kira-kira 20 tahun. Ada juga hadiah diberikan dan sebagainya. (BACA SINI).
Masa yang sama, Mac lalu, Forbes telah menyenaraikan FORBES BILLIONAIRES LIST 2018 dan 14 rakyat Malaysia telah disenaraikan sebagai individu terkaya di dunia.
Ternyata, untuk 12 tahun berturut-turut, Tan Sri Robert Kuok yang juga ahli Majlis Penasihat Kerajaan, tersenarai sebagai individu paling kaya di Malaysia dengan aset kekayaan bernilai AS$14.8 bilion bersamaan RM57.8 bilion. Di peringkat dunia, pemilik Kuok Group berusia 93 tahun itu menduduki tangga ke 96 dunia.
Berkongsi kedudukan sebagai individu kedua terkaya di Malaysia dan ke-217 di dunia adalah tokoh telekomunikasi, Tan Sri T. Ananda Krishnan, dan pengasas bersama Hong Leong Group, Tan Sri Quek Leng Chan, masing-masing dengan aset kekayaan berjumlah AS$7.2 bilion (RM28 bilion).
Berusia 57 tahun, Tan Sri Paul Koon Poh Keong pula merupakan individu termuda di Malaysia yang tersenarai dalam ‘Forbes Billionnaires List 2018’. Dengan aset kekayaan bernilai AS$2.4 bilion (RM9.4 bilion), pengasas bersama Press Metal Aluminium Holdings Bhd itu adalah ke-10 terkaya di Malaysia dan ke-1,020 terkaya di dunia.
Sementara itu, Tan Sri Syed Mokhtar AlBukhary merupakan satu-satunya tokoh perniagaan Melayu yang disenaraikan. Dengan aset kekayaan berjumlah AS$1.9 bilion (RM7.4 bilion), pengasas Yayasan Albukhary itu menduduki tangga ke-11 terkaya di Malaysia dan ke-1,284 terkaya di dunia.
Di kedudukan ke 14 individu terkaya di Malaysia ialah Tiong Hiew King dengan harta bernilai AS$1.2 bilion.
Sementara itu, Forbes turut menyenaraikan 50 individu mengikut negara dan inilah ranking 50 individu paling kaya di Malaysia bagi tahun 2018.
Jadi dengan nilai rampasan yang tular semalam, di mana agaknya kedudukan bekas Perdana Menteri kita dalam senarai orang kaya Malaysia?