Forest Skywalk Tarikan Baru Warga Kota Beriadah Di FRIM, Ketinggian Menara Tinjau Mampu Lihat KLCC

Share

3 hari lagi Malaysia akan menyambut ulang tahun kemerdekaan ke 63 tahun. Memilih tema Malaysia Prihatin membawakan maksud yang cukup mendalam kepada rakyat Malaysia selari dengan keadaan negara masih berdepan dengan pandemik COVID-19.

Gabungan perkataan 'Malaysia' dan 'Prihatin' yang dipilih tahun ini menggambarkan seluruh rakyat berganding bahu memerangi wabak itu serta kecaknaan kerajaan dengan melakukan pelbagai inisiatif merangkumi aspek ekonomi dan kebajikan demi kelangsungan hidup rakyat.

Memandangkan cuti kemerdekaan jatuh pada hari Isnin, pasti sudah ramai yang berangkat pulang ke kampung bertemu ibu bapa. Tapi bagi yang tidak bercadang bercuti, korang bolehlah pergi ke Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM) untuk mencuba menaiki Jejantas Rimba atau Forest Skywalk FRIM di Taman Botani Kepong yang akan dibuka pada 31 Ogos 2020.

Dalam fb FRIM, pihak mereka memaklumkan ‘Forest Skywalk’ (juga dikenali Jejantas Rimba) FRIM di Taman Botani Kepong (KBG) akan dibuka kepada orang ramai mulai 31 Ogos (Isnin).


Jejantas ini berukuran 18-50 m tinggi dan 250 m panjang. Ia dibina menggunakan bahan aluminium sebagai struktur utama dan dikukuhkan dengan ‘guy wire’.

Wow, dari ketinggian 50 meter tu boleh tahan gayat juga.



















Apabila berada di atas jejantas, pengunjung dapat menikmati pemandangan indah KBG, hutan FRIM yang merupakan hutan buatan manusia, sekitar kawasan Kepong serta Kuala Lumpur.

Di atas menara peninjauan 50 m pula, pengunjung dapat melihat pemandangan sejauh lebih kurang 30 km serta bangunan-bangunan sekitar Kuala Lumpur dan Petaling Jaya seperti Menara KLCC, Menara KL, Menara Tun Razak Exchange dan Menara Telekom.

Waktu operasi

Butiran lanjut termasuk waktu operasi Jejantas Rimba FRIM adalah seperti berikut
Isnin-Ahad: 8.30 pagi–4.30 petang
Jumaat: 8.30 pagi–12.15 petang; 2.45–4.30 petang
Kemasukan terakhir: sejam sebelum penutupan
Bilangan pengunjung setiap hari: maksimum 150 orang. Bagi kumpulan yang melebihi 10 peserta, tempahan awal perlu dibuat sekurang-kurangnya tiga hari sebelum tarikh lawatan dan perkhidmatan jurupandu alam (nature guide) diwajibkan.

Pengunjung perlu memakai pakaian terutamanya kasut yang sesuai untuk menjalankan aktiviti ini.

Dikenakan cas bayaran

Selain bayaran tiket ‘Forest Skywalk’, bayaran parkir dan kemasukan KBG juga dikenakan.

Harga tiket seperti berikut:
Pelajar (umur 7-17 tahun): RM 8 | *RM25 caj bagi bukan pemegang MyKad
Kakitangan FRIM: RM 8
Warga emas: RM 10 | *RM40
Dewasa: RM 15 | *RM 40
Caj tambahan untuk menara 50 meter(terhad kepada mereka yang berusia 13 tahun ke atas): RM 5 | *RM10

Kanak-kanak berusia 6 tahun ke bawah tidak dibenarkan menyertai aktiviti ini.
Mulai 31 Ogos juga, waktu operasi KBG akan bermula jam 7.30 pagi sehingga 7.00 petang dengan kemasukan terakhir pada jam 6.00 petang.

Published by
Almaswa Haji Che Ros