[Foto] Cantik & Sopan, 8 Gaun Sari Pernah Digayakan Di Karpet Merah Cannes

Share

 

Saban tahun, jelitawan industri perfileman Bollywood tidak pernah terkecuali daripada menerima jemputan untuk memeriahkan acara karpet merah serta tayangan perdana di Festival Filem Cannes yang bertempat di Perancis.

Apa yang menjadikan bintang-bintang dari India ini lebih menonjol berbanding selebriti antarabangsa lain adalah disebabkan kemunculan mereka dalam persalinan tradisional. Bukanlah bermakna ada di antara mereka yang tidak pernah menggayakan gaun moden.

Ada.. cumanya apabila mereka menggayakan sari sama ada dengan sentuhan kontemporari ataupun memilih sari klasik, pastinya mata terus tertumpu kepada kecantikan mereka ini yang sukar untuk ditandingi.

Menyusuri tahun demi tahun, jom lihat 8 rekaan sari pilihan REMAJA yang pernah digayakan di karpet merah Cannes.

 

Deepika Padukone 2022

Boleh dianggap sebagai wajah sebati di Festival Filem Cannes waktu kini, Deepika Padukone jarang sekali menghampakan peminat fesyen. Kali ini, dia memilih sari rekaan pereka sari terkenal Sabyasachi Mukherjee. “Sari adalah cerita yang saya tidak akan berhenti ceritakan. Tak kira di mana saya berada, sari mempunyai ‘tempatnya’.”

Ia mendapat sentuhan moden dengan pilihan fabrik sekui berjalur emas dan hitam manakala aksesori headband pula menjentik nilai keremajaan bagi gaya Deepika ini.

 

Deepika Padukone 2022

Tidak cukup setakat itu, si cantik tinggi lampai Deepika kembali membuatkan negaranya berbangga dengan tradisi persalinan sari apabila tampil dalam gaun ruffle moden serba putih dengan perincian mutiara. Ia merupakan persalinan terakhirnya sebagai ahli juri Festival Filem Cannes pada tahun ini.

Gaun ini (serta aksesori rantainya itu) merupakan ciptaan khas Abu Jani Sandeep Khosla manakala anting-anting milik jenama Birdichand Ghanshyamdas. Bercakap pada majlis tersebut, Deepika berkongsi bakal terlibat dalam sebuah filem comeback bersama Shah Rukh Khan dan John Abraham berjudul Pathaan, filem remake The Intern versi Bollywood dan juga projek khas bersama Hrithik Roshan dalam Siddharth Anand’s Fighter. Bukan saja cantik, bergaya malah sibuk bekerja!

 

Aishwarya Rai 2002

Bagaimana kita dapat lupakan gaya Aishwarya Rai serba kuning keemasan bak puteri India ini.

Ini merupakan kali pertama seorang aktres Bollywood dijemput  bertandang ke Festival Filem Cannes dan mewakili India. Siapa lagi yang lebih layak mendapat penghargaan itu melainkan Aiswarya. Dia tiba bersama Shah Rukh Khan dan penerbit Sanjay Leela Bhansali bersempena filem Devdas pada tahun 2002 dalam persalinan sari kuning rekaan Neeta Lulla. Sejak itu, Aishwarya telah menjadi jemputan tetap hampir setiap tahun ke Cannes disebabkan kontraknya bersama jenama kosmetik L’Oreal Paris.

 

Aishwarya Rai 2013

Dalam banyak-banyak kemunculan Aishwarya itu, gaun keemasan rekaan Tarun Tahiliani ini menjadi kegemaran REMAJA. Ini merupakan kemunculan penutupnya di karpet merah Cannes pada tahun 2013 dan diva ini memastikan semua orang mengingati busananya. Ibarat paduan dua budaya, ia mempunyai potongan Mandarin Collar ala Cheongsam yang jarang kita lihat digandingkan dengan kain sari.

 

Rasika Dugal 2018

Pelakon filem Manto ini bukan saja-saja ingin tampil glamor pada edisi 2018 ini. Sebaliknya, Rasika Dugal berjalan di karpet merah Cannes sebagai tanda protes terhadap isu ketidakadilan pembayaran gaji antara lelaki dan wanita dalam industri perfileman bersama 81 orang jemputan wanita lain.

Ia adalah sebagian daripada pergerakan #MeToo yang cukup prominen pada tahun tersebut dan Rasika ditemani bintang antarabangsa lain termasuklah Jane Fonda, Cate Blanchett dan Salma Hayek.

Bercakap mengenai gaya sari biru lautnya, Rasika memilih pendekatan less is more dalam persalinan Raw Mando dengan aksesori daripada JOOLRY by Karishma Mehra. Cantik kan!

 

Sonam Kapoor 2014

Ini merupakan titik tolak kepada ikon fesyen antarabangsa buat Sonam Kapoor apabila dia memilih gaun sari net rekaan Anamika Khanna sebagai duta jenama L’Oreal Paris. Dengan aksesori dempak Sunita Kapoor, sepatu Jimmy Choo dan clutch Ferragamo, Sonam merupakan ‘a breathe of fresh air’ di karpet merah tersebut biarpun bergandingan dengan bintang yang lebih senior seperti Eva Longoria dan Cheryl Cole.

 

Sonam Kapoor 2016

Ada beberapa momen lain yang menampakkan Sonam menggayakan sari di Festival Filem Cannes. Bagaimanapun, REMAJA amat menggemari gaya sari moden biru-hitam yang pernah disarungkannya pada tahun 2016 ini. Ia merupakan rekaan Rimzim Dadu dan menjadi ‘statement’ pada tahun ini dengan pilihan gincu merah jambu serta anting-anting mewah

 

Vidya Balan 2013

Pada tahun 2013, aktres Vidya Balan telah dijemput sebagai salah seorang ahli juri Festival Filem Cannes di samping nama besar lain seperti Steven Spielberg, Nicole Kidman, Ang Lee, Christoph Waltz dan beberapa figura lain.

Vidya yang terkenal dengan imej bersari mengambil peluang tersebut untuk menayangkan busana tradisi itu setiap kali dia membuat kemunculan di khalayak ramai. Namun, gaya pertama ini yang menjadi kegemaran kami disebabkan keunikan sarinya.

Sari ini direka oleh Sabyasachi (peraka sama dengan gaun sari Deepika tadi) dan ia telah menerima pujian ramai kerana kelihatan moden namun masih berpegang kepada budaya seorang jelitawan dari India.

*

Gaya mana satu yang paling korang sukakan?

ARTIKEL BERKAITAN : Elfira Loy Simpan Kain Sari 3 Tahun Sebelum Kahwin, Lihat Stail Bollywood Bridesmaids-nya – REMAJA

BACA LAGI : Lihat 5 Cara SZA Habiskan Masa Di Kuala Lumpur, Termasuk Memakai Sari! – REMAJA

Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti telegram rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.

Published by
FZ