Memiliki latar belakang berbeza seperti bakal peguam, pelatih cheer, pelakon baru, pemandu Grab, influencer dan sebagainya pencarian Dewi Remaja 2019 mengumpulkan gadis remaja dari pelbagai sudut.
Ujibakat yang diadakan selama 4 hari itu telah menyaksikan lebih 600 gadis berbakat besar hadir mempertaruhkam potensi.
Tidak dinilai dari kecantikan semata-mata atau memiliki jumlah follower yang berjumlah ratusan ribu, penganjuran Dewi Remaja kali ke-11 ini sekali lagi merupakan produksi kolaborasi di antara Nu Ideaktiv menerusi Majalah Remaja dan Astro Malaysia Holding Berhad (Astro).
Bagi pencarian kali ini, pihak penganjur tidak hanya menilai kecantikan paras rupa tapi turut menilai faktor lain terutamanya dari segi personaliti menarik, IQ, EQ serta aura bagi mewakili gadis di luar sana.
Itulah antara kriteria yang perlu ada untu menambat hati para juri hingga disenarai pendek menjadi Top 12 dari Top 20.
Empat orang finalis Top 12 telah pun diumumkan sebentar tadi. Melihat kepada latar belakang masing-masing, adakah pencarian Dewi Remaja 2019 bakal didominasi oleh peserta berdarah kacukan?
Jom lihat.
Aktif sukan teakwando
Ternyata tuah menyebelahi Nik Nurul Amanina binti Nik Mohd Amin, gadis manis berusia 23 tahun yang memiliki darah campuran Cina-Melayu apabila diumumkan sebagai peserta pertama yang layak ke peringkat Top 12.
Nina juga berkebolehan bertutur dalam Bahasa Korea dan Jepun. Memiliki ijazah dalam bidang psikologi, Nina seorang yang aktif bersukan termasuklah sukan taekwondo dan bola baling.
Boleh menari tarian tradisional
Top 12 turut menyaksikan gadis kacukan Melayu-Filipina, Andrianna Fernandez Azmi atau mesra disapa Dian.
Baru berusia 19 tahun dan kini menuntut di KUPTM dalam bidang Komunikasi Korporat, Dian kini menetap di Kuala Lumpur dan berbakat dalam bidang nyanyian.
Pengalaman hosting TV Jepun
Berdarah kacukan Kelantan, Tengku Shatirah Amanda Tengku Ahmad Badrulddin juga terpilih dalam senarai Top 12. Baru saja berusia 19 tahun namun mempunyai pengalaman mengacara di saluran televisyen Jepun, Amanda antara peserta yang perlu diberikan perhatian.
Amanda juga berkebolehan menyanyi lagu tradisional dan kontemporari dengan baik.
Myra Atlet Cheerleading Kebangsaan
Biarpun pernah mencuba sesi uji bakat Dewi Remaja 2018/19 namun ketika itu tuah tidak menyebelahi Yusmyra Natasya. Di sebalik kekecewaan itu, Myra tidak berputus asa untuk mencuba lagi dan ternyata rezeki tidak pernah tersalah alamat.
Bukan hanya fasih bahasa Mandarin, Myra juga merupakan bekas atlet cheerleading kebangsaan dan kini bergelar jurulatih di akademinya sendiri, Elite Cheer Academy.
*
Sidang media pencarian Dewi Remaja 2019 pada petang ini juga menampilkan Amelia Henderson sebagai hos rancangan manakala Scha Alyahya dan Yusri Abdul Halim dipilih sebagai juri tetap.
Manakala rakan penaja rasmi untuk tahun ini terdiri daripada redONE sebagai rakan telekomunikasi rasmi Dewi Remaja 2019 dan Nuvit Malaysia selaku penaja bersama.
Berbeza dengan musim sebelum ini, tahun ini menyaksikan kesemua Top 12 dirumahkan secara berterusan di Vila Dewi, BCB Hometree Broadleaf Residence sepanjang pertandingan. Terima kasih juga kepada penaja set dekorasi program iaitu Dato’ Paduka Faradila Mohd Yusoff daripada FA & The Designers.