Sekiranya korang merupakan peminat program realiti berbentuk masakan, pastinya salah sebuah program yang korang gemari ialah Great British Bake Off.
Kini dalam sebuah program ‘spin-off’ berjudul Junior Bake Off (JBO), seorang gadis Malaysia berusia 12 tahun sedang mempersiapkan diri untuk bertarung di episod finalnya tidak lama lagi!
Aisya Syahrul baru-baru ini telahpun berjaya mara ke pusingan seterusnya bersama tiga lagi orang peserta cilik lain setelah dia mempertaruhkan budaya Malaysia dalam menu yang dihasilkannya.
Sebagai contoh, apabila peserta diberikan cabaran bertema ‘Dessert Imposter’, Aisya menyediakan biskut berbentuk sate ayam siap dengan ‘timun’, ‘kuah kacang’, ‘bawang merah’ dan ‘daun pisang’ lagi di atas kek coklat!
“Bahagian sate ayam diperbuat daripada doh biskut manakala kuah kacang ini sebenarnya merupakan sos karamel yang ditabur dengan kacang,” katanya sewaktu mempersembahkan resepi tersebut.
Juri nyata menyukai kreativiti tersebut dan memuji tekstur hiasan serta ketelitian Aisya dalam penyediaannya. Malah, ia bukan sekadar cantik pada luaran tetapi juga ‘kaya’ dengan lapisan inti pada bahagian dalam kek tersebut.
Hasil kreativiti tersebut, para juri bersepakat mengakui kreativiti dan skil Aisya lalu meletakkannya di episod final JBO yang bakal disiarkan pada 28 Januari ini.
Untuk pengetahuan, Junior Bake Off menyaksikan 16 orang peserta berusia dari 9 hingga 15 tahun bertarung menyediakan masakan.
Mereka dibahagikan kepada dua buah kumpulan dan dari situ, hanya empat orang chef junior yang terpilih untuk mengikuti rakaman penggambaran episod final yang dijadualkan berlangsung pada hari ini di sebuah lokasi rahsia di Britain.
Bakal juaranya akan membawa pulang sebuah trofi kaca berbentuk ‘cake stand’ dan juga gelaran juara Junior Bake Off.
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti telegram rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.