Kami tak dapat sorokkan perasaan bangga apabila mendapat tahu bahawa Malaysia bakal menghantar seorang peserta menyertai sebuah pertandingan realiti nyanyian mega di China.
Untuk pengetahuan korang, pertandingan yang dikenali sebagai CHUANG 2020 ini merupakan sebuah rancangan siri realiti yang mencari 7 orang penyanyi perempuan untuk digabungkan sebagai sebuah kumpulan pop antarabangsa terkenal.
Cuba bayangkan Little Mix atau Fifth Harmony, tetapi versi Asia.
View this post on Instagram
学员们将在这里,书写有笑有泪的成长故事。 The trainees will write their own story of growth here. #CHUANG2020 #创造营2020
A post shared by 《创造营 CHUANG2020》官方账号 (@chuang2020.official) on
Seramai 101 orang peserta perempuan telah terpilih untuk merebut peluang menjadi penyanyi terkenal, dan ia termasuklah peserta tunggal dari Malaysia ini.
Joyce Chu mencuri perhatian ramai pihak setelah video muziknya bertajuk I Miss You bertukar viral. Dilahirkan dan dibesarkan di Johor Bahru, Joyce menjadi satu-satunya trainee dari Malaysia dan tidak mustahil, dia akan menjadi terkenal di dalam industri hiburan Cina antarabangsa kelak.
Tambah mendebarkan adalah apabila Joyce dan 100 peserta lain akan dilatih oleh Tao (bekas ahli EXO), Luhan (bekas ahli EXO), Victoria (bekas ahli f(x)) dan Mao Buyi (juara pertandingan The Coming One, mirip CHUANG tetapi untuk lelaki).
Dan tentunya mereka perlu melakukan persembahan di hadapan 4 orang jurulatih ini.
Bukan skil nyanyian dan bakat saja yang akan diadili. Peserta juga perlu menunjukkan keyakinan diri, semangat dan keremajaan masing-masing di hadapan jutaan penonton seluruh dunia.
Jom sokong Joyce dengan menonton CHUANG 2020 di WeTV!. Episod baru akan keudara setiap hari Sabtu dan Ahad pada jam 8 malam.
Korang juga boleh mengundi Joyce dan 6 orang peserta lain pada setiap hari di aplikasi WeTV!. Pusingan pertama undian akan berakhir pada 18 Mei ini (11 pagi). Jadi cepat-cepat mengundi okay!
All the best Joyce!
Wiper Cermin Kereta Cepat Rosak? Cuba Buat 5 Tip Penjagaan Ini
Pernah tak korang lalui situasi keadaan macam ni, korang tengah drive kereta, tiba-tiba hujan? Lagi-lagi bila hujan lebat, susah la nak nampak jalan dengan jelas… Mesti korang on kan wiper kereta korang tu cepat-cepat, kan?
Memang rasa tidak selesa memandu ketika hujan lebat kerana penglihatan akan menjadi sukar disebabkan oleh rintik hujan yang membasahi cermin kereta mengaburi pandangan.
Kadang, bila hujan terlalu lebat penggunaan wiper juga tidak membantu akibat getah pada wiper yang cepat kembang dan rosak. Jadi, apa yang korang boleh buat?
Ikuti perkongsian seorang pengguna Twitter ini tentang 5 TIPS PENJAGAAN WIPER ini
1. ELAK GUNA WAKTU KERING
Wiper hanya boleh digunakan pada permukaan basah sahaja jadi jika anda gunakan ia pada permukaan kering, wiper akan lebih cepat haus. Pastikan menggunakan pancuran air untuk membasahkan cermin terlebih dahulu sebelum membersihkan habuk dan kotoran yang ada pada cermin.
2. RAJIN BERSIHKAN WIPER
Korang perlu elakkan pengumpulan kotoran seperti pasir dan debu pada bahagian bawah bilah dengan cara mengelapkannya menggunakan kain lembap agar tidak mencalarkan windscreen. Buat setiap minggu atau sekurang-kurangnya setiap kali mencuci kereta.
3. PASTIKAN CERMIN KERETA BERSIH
Kalau korang sering menggunakan pengelap cermin jenis mop yang terdapat di stesen-stesen minyak, sila beri perhatian kerana air untuk mengelap tersebut jarang ditukar jadi kemungkinan anda akan menggunakan air yang kotor semasa mengelap cermin kereta.
4. PASTIKAN PENGELAP CERMIN DIPASANGKAN DENGAN SEMPURNA
Bagi yang sering menukar wiper, pastikan pengelap cermin dipasang kemas semula ditempatnya. Buka penutup skru dan tengok skru di bahagian bawah sebagaimana dalam gambar. Pengelap cermin tidak boleh terlalu ketat ataupun terlalu longgar.
5. GANTI ATAU TUKARLAH BILAH WIPER APABILA SUDAH TIBA MASANYA
Dicadangkan untuk menukar bilah wiper pada 6 bulan. Jika anda lihat wiper anda telah merekah, kering mahupun terbelah, itu menandakan wiper perlu ditukar.
Okay, lepas ni korang bolehlah try tip ini dan cuba apply pada cermin kereta.
Selamat mencuba!
Sumber: Twitter protonlala
Selepas 13 Tahun, Apa Perkembangan Pelakon Drama ‘My Lovely Sam Soon’?
Sesiapa yang rasakan diri mereka peminat K-drama tegar, mesti korang pernah tonton drama popular ini!
K-drama bergenre romantic comedy berjudul My Lovely Sam Soon ini pernah menjadi fenomena pada tahun 2005. Ia mengisahkan tentang idea seorang bos lelaki muda bercinta dengan wanita yang lebih tua daripadanya.
Hhm – klise?
Mungkin juga, tetapi itulah jalan cerita yang paling diminati oleh penonton televisyen, terutamanya di kalangan penonton Malaysia.
BACA : Lihat Transformasi Pelakon Coffee Prince Selepas 11 Tahun Berlalu, Lain Weh!
Lalu penulis tertanya-tanya, apa transformasi yang telah berlaku kepada para pelakon utama My Lovely Sam Soon selepas lebih 13 tahun? Handsome dan cantik seperti dahulu atau tak? Nah, lihat perkembangan mereka berempat.
Kim Sam Soon (Kim Sun Ah)
Sam Soon merupakan wanita yang merasakan hidupnya tak cukup serba-serbi dan selalu dilanda malang disebabkan namanya itu – Sam Soon. Mula-mula, dia ditinggalkan boyfriend, kemudian susah nak cari kerja. Banyaklah insiden buruk berlaku sehingga penonton dapat relate kepada karakter lakonan Kim Sun Ah ini.
Kini, Sun Ah sudahpun berusia 44 tahun tetapi masih hot!
Antara projek terbarunya ialah filem Operation Chromite, drama Woman in Dignity dan Should We Kiss First.
Hyun Jin Heon (Hyun Bin)
Annoying weh lelaki ni, tetapi kerana sifat kadang-kadang romantiknya itu terhadap Sam Soon, ramai penonton yang jatuh cinta terhadap Hyun Bin.
Pada asalnya, watak Jin Heon ini muncul sebagai anak daripada keluarga kaya raya dan sombong. Tetapi selepas mendekati Sam Soon, barulah dia mula mengikis sifat annoying itu sedikit demi sedikit.
Kini, Hyun Bin telah berusia 35 tahun dan masih tampil awet muda!
Dulu comel, sekarang macho! Dari segi lakonan, Hyun Bin agak memilih projek drama dan filem kerana dia inginkan kelainan setiap kali melakukan kemunculan.
Pada tahun 2018, Hyun Bin dapat ditonton melalui filem Negotiation dan Rampant, serta drama tvN berjudul Memories of the Alhambra
Yoo Hee Jin (Jung Ryeo Won)
Semasa berlakon untuk My Lovely Sam Soon, Ryeo Won baru berusia 24 tahun. Di dalam drama ini, dia melakonkan watak bekas kekasih Hyun Jin Heon. Kesian kena sailang dengan orang ketiga, eh!
Kini, Ryeo Won masih aktif berlakon malah lebih hebat berbanding dahulu.
Tahun lepas, dia banyak menerima anugerah melalui drama Witch At Court, paling diingati penulis adalah anugerah KBS Drama Awards 2017.
Dr. Henry Kim (Daniel Henney)
Kalaulah ada doktor seperti ini, setiap hari sakit pun tak apa. Hehe..
Di mana ada Yoo Hee Jin, di situlah ada Dr Henry Kim yang selalu merawatnya dan dalam diam, membiarkan perasaan cinta mekar gitu.
Kini, Daniel masih kacak dan aktif dalam dunia modelling dan lakonan. Cuma, dia sudah jarang terlibat di dalam drama bersiri panjang Korea. Last time menonton Daniel pun melalui drama Criminal Minds, tahun lepas.
Ryan Bakery Akui Pernah Patah Hidung, Pengsan, Diserang Anxiety : Cabaran Jadi Influencer!
Ryan Bakery bukan nama asing dalam kancah media sosial. Walaupun kehidupan sebagai influencer nampak cun dan glamor, Ryan baru-baru ini buka mulut tentang realiti sebenar—yang ada pahit manisnya.
ARTIKEL BERKAITAN: “Ini Isteri Saya, Kenalkan.. Elyia” Tulang Belakang Ryan Bakery Dari Susah Hingga Bergelar Pemenang
Tuah ayam nampak di kaki, tuah manusia tak siapa yang tahu.
Hikmah di sebalik diberhentikan kerja dalam industri penerbangan akibat Covid-19 kira-kira dua tahun lalu membuka lembaran hidup baharu buat pemilik nama Muhammad Ryan Fahmi Bakery atau lebih dikenali sebagai Ryan Bakery.
Siapa sangka dari seorang pemuda biasa kini dia merupakan salah seorang personaliti media sosial berjaya dan sebaris selebriti popular tanah air. Percaturan Ryan mengetengahkan video nostalgia santai dan menghiburkan sebagai kandungan di platform media sosial miliknya meraih perhatian meluas.
Populariti anak jati kelahiran Perak ini naik mendadak sekaligus menambat hati sebilangan besar warga maya tidak kira dalam kalangan dewasa mahupun remaja. Sehingga kini pengikut Ryan di Instagram dan TikTok mencecah jutaan orang!
Enggan mendabik diri dengan kesenangan tersebut, anak sulung daripada empat beradik ini bagaimana pun sentiasa berpijak di bumi nyata.
Mengimbas kembali perjalanannya bergelar pempengaruh media sosial, dalam nada syukur Ryan yang sinonim dengan panggilan ‘Budak Bedak’ membuka bicara.
“Saya berasal dari keluarga yang bukan senang. Ayah saya bekas Tentera Laut dan mak pula suri rumah. Mak saya berniaga makanan seperti kuih, laksa dan nasi ayam. Saya dulu banyak main, kerja pun lompat sana-sini.
Satu hari ayah tanya sampai bila nak kerja macam tu dan bila nak ada kerja tetap. Memang kata-kata ayah tu menusuk dalam hati. Terus saya pergi sambung belajar dan rezeki dapat kerja di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).
Seronok mak ayah bila saya kerja di airport. Tapi bila diberhentikan kerja sebab pandemik Covid-19, hati siapa tak hancur. Saya kemudian balik ke kampung di Perak. Dalam hati menangis, rasa macam seorang anak yang gagal.
Di kampung, saya berniaga seorang diri. Waktu tu tengah trend ikan laga, jadi saya cuba biak dan bisnes tu menjadi. Dalam masa sama, saya juga jual kuih.
Memandangkan banyak masa terluang saya fikir macam mana lagi nak jana income. Kalau dapat buat video, boleh buat paid review dan tambah duit. Zaman video pendek di laman sosial Vine dulu saya minat Luqman Podolski dan Adib Alex. Jadi di situlah saya mula buat content,” ujar bekas penuntut International College of Yayasan Melaka (ICYM) ini.
Dedah Ryan, kekuatan kandungan video yang dipaparkan menjurus kepada elemen nostalgia.
“Saya dah buat banyak content sebenarnya. Tapi content nostalgia lebih dapat sambutan tinggi. Kadang-kadang tengah borak dengan mak pun boleh jadi sebab berkait rapat dengan kisah masyarakat. Walau nampak simple dan ada yang kata ‘lame joke’, saya ambil tugas content creator ini secara serius.
Seronok bila baca komen positif dari mereka yang tersentuh hati lepas tengok content yang saya hasilkan. Benda itu ‘mahal’. Saya cuba paparkan momen di samping orang-orang tersayang, keluarga, pengalaman hidup dan ragam masyarakat,” luahnya sambil meluahkan rasa syukur menerima banyak tawaran lakonan, jurucakap produk dan jadi peserta program realiti TV sejak namanya terkenal.
Berbekalkan restu dan sokongan tidak berbelah bahagi daripada ibu bapa, keluarga dan isteri tersayang, Ryan melangkah laju mengharungi cabaran bergelar public figure.
Malah dia enggan menjadikan kecaman dan kritikan segelintir pihak yang tidak sehaluan dengan karya kreatifnya sebagai halangan untuk terus memajukan diri.
Akui Ryan, dia pernah terlintas mahu undur diri daripada industri dek kerana tohmahan yang dilemparkan khalayak namun figura berusia 28 tahun ini kental menempuh dugaan.
“Kita ada keluarga nak beri makan, ada isteri nak dijaga. Itu yang menguatkan semangat saya. Bukan semua orang suka kita tapi kalau kita tak dapat nak hadap benda tu bermakna kita tak cukup kuat. Alhamdulillah setakat ini segala kecaman saya masih boleh tepis lagi. Tapi kadang-kadang sedih juga.”
Tidak pernah mendedahkan realiti kesukaran yang dialami sepanjang bergelar pempengaruh media sosial sebelum ini, Ryan berkata jiwanya rapuh saat pertama kali berdepan kata-kata negatif netizen.
“Nak dapat jiwa kental tu, saya pernah patah hidung, pengsan, stres, diserang anxiety dan selalu bersendiri. Jadi content creator di media sosial ni bukan mudah sebab kita akan hadap banyak benda. Paling utama sekali, persekitaran yang ‘toksik’.
Kita kena bijak singkirkan komen yang negatif daripada mempengaruhi diri dan kehidupan seharian supaya tak terus hanyut dan jatuh.
Saya juga pernah keluar masuk hospital. Waktu tu belum kahwin lagi dan isteri tahu betapa saya struggle lalui semua ini. Bila masuk hospital, isteri saya sanggup turun dari Sepang ke Temerloh, Pahang untuk pastikan saya sihat. Orang tak tahu macam mana kita berusaha cari rezeki untuk keluarga.
Selagi kita boleh buat, kita sajikan content yang positif dan elak daripada sentuh sensitiviti masyarakat,” telus Ryan yang merancang menceburi bidang perniagaan pakaian andai satu hari nanti tidak lagi berkecimpung dalam industri ini.
Mengulas pencapaian terbesar yang diraih sejak menjadi individu berpengaruh di alam maya, Ryan bersyukur dibukakan pintu rezeki seluas-luasnya yang tidak pernah terlintas pun di fikiran selama ini.
Selain berpeluang membintangi filem Zim Zim Ala Kazim, Ryan juga berjaya merangkul pengiktirafan TikTok Awards Malaysia 2023 bagi kategori Popular Creator of The Year pada Ogos lalu.
Lebih manis, impian Ryan untuk mendirikan rumah tangga dengan wanita pilihan turut dimakbulkan Allah SWT. Tanggal 1 Oktober 2022 dia sah menjadi suami kepada Elyia Ibrahim selepas lima tahun mengenali hati budi.