Gadis Ini Buktikan Anak Kampung Mampu Bina Kerjaya Di Syarikat O&G Antarabangsa

Share

Selagi ada usaha, pasti ada kejayaan yang diraih. Benarlah kata pepatah berikut, tidak ada yang mustahil jika kita lakukan sesuatu dengan penuh minat dan kegigihan pasti membuahkan hasil.

Lim Chia Wei atau pun dikenali sebagai Cempaka oleh teman-teman rapatnya telah membuktikan bahawa segala impiannya tercapai walaupun pada mulanya ramai yang menganggap anak kelahiran Perlis ini hanya menyimpan angan-angan kosong.

Bertugas sebagai Technical Sales Engineer di salah sebuah syarikat Oil & Gas terbesar di dunia, Cempaka sudah pun berkhidmat dalam industri tersebut kira-kira 5 tahun. Biar pun mendapat tentangan daripada orang disekeliling, namun gadis ini tidak mudah patah semangat.

“Saya sering dipanggil sebagai anak kampung kerana dibesarkan di sebuah pekan kecil di Perlis. Daripada tidak pandai berbahasa Inggeris, sehinggalah dimana saya berada sekarang iaitu memegang jawatan sebagai Technical Sales Engineer di salah sebuah syarikat Oil & Gas (O&G) terbesar dunia,”

“Bila saya menyatakan hasrat untuk belajar dalam bidang kejuruteraan teknikal dan ingin bekerja di industri O&G, ramai yang membangkang dan mengatakan bahawa kerjaya ini bahaya dan bukannya untuk orang perempuan. Saya menerima banyak tentangan dan halangan tetapi ia sedikit pun tidak mematahkan hasrat saya untuk meneruskan impian menjadi seorang jurutera teknikal,”

“Menjadi seorang yang agak lasak, saya suka bekerja di luar ofis dan kerana itu juga saya memilih kerjaya ini. Paling mencabar tentang kerjaya saya terutamanya di atas laut adalah cabaran fizikal. Kami perlu menyelenggarakan barang-barang berat, tetapi bukanlah bermaksud saya perlu mengangkat kesemua barangan tersebut. Jika ia terlalu berat, ia akan diangkat oleh kren. Cuma operasi di offshore ini sangat bahaya, macam saya pernah bekerja di telaga minyak. Jadi kita tak tahu dibawah itu suhunya bagaimana dan oleh kerana itu, semuanya memerlukan perancangan yang rapi,” jelas Cempaka.

Walau bagaimanapun, kerjaya ini banyak memberikan ilmu mahu pun pengalaman yang manis buat Cempaka. Tambahnya lagi, pekerjaan ini juga memberinya peluang untuk berkunjung ke merata tempat di seluruh dunia. Jadi baginya, jika korang memang suka bekerja sambil berjalan, ini adalah pekerjaan yang sesuai untuk korang.

“Kemahiran teknikal memang perlu dilatih dan sewaktu saya mula bekerja dulu, bukannya saya terus pandai. Saya masih perlu belajar dan menghadiri banyak sesi latihan. Saya melakukan latihan di beberapa negara luar seperti Perancis dan Abu Dhabi. Tahun lepas, saya juga berkesempatan untuk bekerja di Thailand. Jadi, korang boleh lihat bidang O&G ini memang begitu luas di seluruh dunia dan bagi korang yang memang suka travel sambil menimba ilmu, I think O&G is the best place for you,” jawabnya.

Inspirasi untuk anak muda

Mungkin kisah Cempaka ini boleh dijadikan sebagai inspirasi, khususnya buat anak kampung yang kurang berkeyakinan dan menganggap mustahil bagi mereka untuk mengejar impian. Dengan usaha dan semangat, tidak ada perkara yang tidak boleh dilakukan serta semuanya terpulang kepada diri sendiri.

“Bukan senang nak jadi senang. The more you want something, the harder it is for you to achieve the dreams. Hidup ini penuh cabaran tetapi sebagai anak muda, kita perlu berani untuk mengambil risiko. Jangan risau, kalau plan A korang tak jadi, masih ada Plan B dan Plan C. Semua orang bermula daripada bawah,”

“Saya juga dulunya langsung tidak tahu berbahasa Inggeris. Selagi korang ada keinginan untuk belajar, semuanya masih belum terlambat. Korang masih ada masa untuk meningkatkan kemahiran dengan menyertai kelas bahasa Inggeris contohnya. Sekarang ni pun banyak perkara yang kita boleh belajar secara online. Ambil peluang sewaktu PKPB ini untuk mengisi masa menambah baik ilmu yang ada,” tambahnya lagi.

Masih ramai remaja diluar sana yang takut untuk mencuba dan menganggap adalah mustahil untuk mereka mengubah hidup. Apa yang paling penting adalah usaha yang diiringi doa, pasti korang akan dapat melihat hasilnya. Paling penting, jangan pernah berhenti berharap selagi korang tidak pernah berusaha untuk merealisasikannya.

Published by
Noor Ain Norman