Gadis Ini Kongsi Keajaiban Bagaimana Dia Boleh Bebas Dari Kanser Tulang

Share

Bila sebut kanser, hanya kematian terbayang dalam diari mereka yang disahkan mengidap penyakit ini. Sepanjang proses rawatan pula, perlu menghadap radioterapi dan kimoterapi yang pastinya amat menyakitkan.

Tapi apabila disahkan pulih dan bebas dari penyakit berbahaya ini, rasa syukur itu sukar diungkapkan. Perasaan yang sama inilah juga dirasai oleh seorang remaja, Syuhaini Mohd Dzulkifli, 21 tahun dari Jeli, Kelantan.

Oktober lalu, dia menjalani pembedahan membuang sebahagian tulang peha dan betis dalam menghentikan kanser terus merebak di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian. Sudah rezekinya, selepas menjalani pembedahan tersebut, ketumbuhan itu sudah tiada dan kini dia perlu menjalani rawatan susulan setiap enam bulan sekali.

REMAJA menghubungi Syuhaini atau mesra disapa Ernie di kalangan rakan-rakan sudi berkongsi kisahnya demi memberi inspirasi kepada mereka yang senasib.

Beginilah keadaan Ernie sekarang. Kesihatannya nampak semakin pulih. Ahad ini dia akan jalani kemoterapi kali ke empat
Beginilah situasinya ketika bulan Oktober tahun lalu. Kanser tulang dihadapinya memerlukan pembedahan segera

Bagaimana tahu ada kanser tulang?

Mulanya saya rasa lenguh-lenguh di bahagian badan. Tapi ketika itu saya tak terfikirkan tentang kanser. Bila urut lenguh tak juga hilang. Tapi saya perasan di bahagian lutut kiri semakin bengkak.

Kemudian follow up di mana?

Bila bengkak lutut semakin membesar, saya pergi ke Klinik Kesihatan. Buat ujian tapi tak dapat kesan kenapa bengkak. Tapi bengkak makin besar. Saya disuruh buat fisioterapi tetapi bengkak semakin jelas kelihatan. Sampailah rujukan dibuat ke Hospital Tengku Ampuan Afzan, Kuantan dan dari situ nampak seperti ada ketumbuhan. Ketika itu tidak tahu ada kanser lagi. Kanser tulang ini hanya disahkan ketika saya berada di HUSM, itu pun selepas isi ketumbuhan diambil.

Ibu bapa yang banyak memberi dorongan untuknya agar bertabah dengan semua ujian

Bagaimana perasaan ketika itu?

Rasa menangis teruk. Tanya kenapa diuji begini sedangkan saya tidak nampak apa-apa tanda yang saya ada penyakit bahaya ni.

Tapi kemudian saya rehda dengan ujian ini. Ketika itu saya bekerja dengan mengajar di sebuah tadika di Kuantan. Bila tahu sakit saya berhenti  dan balik kampung.

Ini gambar Ernie ketika dalam sakit dan sebelum teruk

Apa yang buat Ernie sukses dengan kanser?

Bulan Oktober tahun lalu, saya merayu minta bantuan kewangan kerana pembedahan ini memerlukan RM15,000. Alhamdulillah pembedahan ini berjaya. Doktor memasukkan besi dari paras peha ke bawah lutut. Besi ini boleh dibengkokkan. Buat masa ini tidak boleh solat berdiri lagi kerana dalam proses pemulihan tapi masa depan, boleh seperti diberitahu oleh doktor.

Bagi, saya untuk sukses, kita perlu ikut saranan doktor kerana mereka lebih pakar. Ada orang memilih berubat kampung dan sebagainya tapi saya percaya dengan keputusan pakar. Lagi pun kanser tulang saya masih di peringkat awal kerana saya segera membuat pemeriksaan doktor bila tidak sihat.

Alhamdulillah kerana pemeriksaan awal dan tak bertangguh inilah penyakit saya dapat dikesan awal. Ada setengah dari kita membiarkan kesakitan melarat baru mahu ke doktor. Nasihat saya kalau ada kelainan pada anggota tubuh badan kita segera bertemu doktor kerana lebih mudah mengesan penyakit. Saya mahu pulih sebab saya mahu kembali aktif.

Nasihat saya, kanser ini perlukan rawatan awal kerana lagi awal dapat dikesan, lagi mudah untuk doktor jalankan tugas mereka. Terdahulu saya sudah buat 3 kali kimoterapi dan tinggal lagi tiga pusingan. Insya Allah hari Ahad ini akan buat lagi sekali. Buat masa ini, jumpa doktor pun 6 bulan sekali.

So korang, insya Allah dengan doa semua, moga Syuhaini terus sukses dengan kehidupannya. Kita mungkin insan terpilih yang diuji dengan kesakitan tetapi paling penting, sentiasalah berdoa kepada Allah.

 

Published by
Almaswa Haji Che Ros