Segala perancangan pada tahun ini mungkin telah terbantut akibat tempias wabak pandemik Covid-19. Antara yang terjejas termasuklah malam gala Miss Universe Malaysia 2020 yang pada awalnya dijadualkan berlangsung pada bulan Mac lalu.
Namun akibat kekangan SOP yang dikeluarkan demi keselamatan rakyat, pihak penganjur Miss Universe Malaysia Organization (MUMO) terpaksa menangguhnya sehingga ke hari ini. And guess what guys, kita sudahpun menobatkan Miss Universe Malaysia 2020 iaitu Francisca Luhong James!
Gadis jelita yang berasal dari negeri Sarawak, Bumi Kenyalang ini mengenepikan saingan 17 orang finalis lain untuk memegang gelaran tersebut.
Francisca, 25 merupakan graduan Universiti Teknologi MARA dan menjadi satu-satunya wakil Sarawak bagi saingan pada tahun ini. Sebagai seorang Pegawai Perhubungan Awam dan Pemasaran serta bergelar model pada waktu terluang, Francisca tentunya telah membanggakan bukan saja keluarga dan kenalan rapat. Malah seluruh negeri Sarawak tentu berbangga dengan kejayaan gadis Kayan-Kenyah-Iban itu.
Jom dengarkan ucapan ringkas Francisca kepada semua penyokongnya dalam bahasa Ibunda, bahasa Sarawak.
Adakah status sebagai satu-satunya wakil Sarawak itu membuatkan Francisca yakin akan memenangi gelaran Miss Universe Malaysia 2020?
“Sudah tentu, saya juga inginkan kemenangan ini sejak awal. Mungkin, satu kelebihan saya adalah saya berbeza. Saya membawa nama keluarga, latar belakang, budaya dan identiti ke atas pentas pada malam ini.
“Sepanjang pencarian ini, saya hanya menjadi diri sendiri baik di dalam media sosial ataupun di luar platform media sosial.
“Saya tak sabar untuk membawakan advocacy (kempen sokongan) saya terhadap hak wanita ke Miss Universe 2020. Sebagai seseorang yang pernah menyertai pertandingan ratu cantik sebelum ini, saya pernah merasakan jatuh bangun sebagai peserta. Setiap kali saya jatuh, saya akan bangun semula walaupun ada pihak yang tidak percayakan pilihan saya ini.
“Saya percaya sekiranya seorang wanita percaya kepada dirinya, itu adalah faktor utama untuknya mencapai cita-cita seperti yang telah saya buktikan pada malam ini,” jelas Francisca yang cantik menyarungkan gaun merah jambu yang direka khas oleh pereka fesyen duo, Rizman Ruzaini.
Untuk pengetahuan, posisi naib juara telah diisi oleh Charissa Chong yang turut memberikan saingan sengit kepada Francisca. Serene Claire telah menduduki tempat ketiga manakala Neha Verma berpuas hati di kedudukan keempat.
Malam gala Miss Universe Malaysia 2020 pada kali ini tampil berbeza apabila dilangsungkan dalam keadaan berjaga-jaga dengan SOP yang ditetapkan oleh pihak kerajaan. Justeru, tiada penonton live dibenarkan di dewan dan kesemua tiket dijual untuk tontonton secara online dari rumah.