Genggam bara api biar sampai jadi arang…
Bukan mudah untuk menerima anugerah istimewa yang diberikan universiti ketika majlis konvokesyen. Pastinya pelbagai bentuk sumbangan yang telah dilunaskan pelajar ini sepanjang pengajiannya.
Graduan ini dikenali sebagai Lua Pei Ling, dia yang merupakan pelajar Fakulti Psikologi dan Pendidikan (FPP) telah berjaya menamatkan pengajiannya dengan cemerlang dan dinobatkan sebagai penerima Anugerah Pingat Emas Alumni, pada Majlis Konvokesyen Universiti Malaysia Sabah (UMS) Ke-24, baru-baru ini.
ARTIKEL BERKAITAN: Dua Graduan Berbeza Bangsa Kongsi Satu Pentas Terima Anugerah Pelajaran DiRaja UM
Menurut laporan Utusan Malaysia, gadis berasal dari Johor ini menzahirkan kesyukuran dan dirinya tidak menyangka menjadi salah seorang penerima anugerah berkenaan kerana dia menyifatkan ramai lagi graduan lain yang cemerlang sama sepertinya.
Selain itu, dia yang kini berkhidmat sebagai Felo Perdana di Kementerian Komunikasi Digital (KKMM) itu juga berkongsi, kekangan yang terpaksa dihadapinya adalah sewaktu di tahun akhir kerana harus bahagi masa dengan komitmen dalam Program Felo Perdana, YSEALI Academic Fellowship dan Higher Education Malaysia Association, serta menyiapkan projek tahun akhir sehingga berasa putus asa dan ingin menangguhkan pengajiannya.
“Saya sangat bersyukur mendapat penyelia yang sentiasa membantu dan menyokong saya dalam menyiapkan projek tahun akhir,” katanya.
“Kunci kejayaan saya adalah saya seorang yang suka belajar benda baru jika ada peluang saya akan ambil untuk mencuba yang terbaik,” katanya.
Sekadar informasi, Lua Pei Ling telah meraih purata nilai gred kumulatif (PNGK) 3.85 dalam pengajian Ijazah Sarjana Muda Psikologi dengan kepujian (Psikologi Industri dan Organisasi).
+++Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.
SUMBER FOTO: Instagram Ada Lua Pei Ling