
Baru-baru ini, fenomena watak Walid menerusi drama ‘Bidaah’ ternyata masih hangat diperkatakan di media sosial. Malah, lakonan mantap dari pelakon versatil, Faizal Hussein itu bukan saja trending di Malaysia tetapi ia turut meraih perhatian peminat drama dari negara jiran, Indonesia.
Menurut laporan sebuah portal media tempatan, Faizal Hussein (58) mengaku bahawa beliau terkejut apabila menerima banyak mesej pujian secara peribadi daripada penonton Indonesia yang rata-ratanya berusia 20-an dan kebawah.
“Saya rasa generasi Z Indonesia menghargai bakat dan lakonan”
“Rata-rata yang mesej saya semuanya muda. Mereka punya komen juga tertumpu kepada lakonan. Saya dapat lihat mereka menilai bakat lakonan dengan ikhlas,” katanya.

Walau bagaimanapun, Faizal mendedahkan dirinya tidak terlepas daripada menerima mesej ‘panas’ daripada beberapa individu yang menawarkan diri untuk menjadi isteri akibat impak drama berkenaan.
“Awalnya saya terima mesej gurauan contohnya ada yang kata mahu jadi isteri kepada Walid,” ujarnya.
“Tapi belakangan ini, saya sedar ia bukan gurauan lagi kerana mereka tidak lagi menggelar saya Walid, sebaliknya panggil nama sebenar saya,” jelasnya.
“Masalahnya yang mesej ini wanita muda, anak dara. Mereka yang kacau mahu jadi ‘isteri batin’ macam watak Walid,” tambah Faizal.

Pelakon legenda tanah air itu juga mengakui pada awalnya beliau agak cuak tetapi kini hanya mampu tertawa apabila menerima mesej seperti itu.
“Pada saya kalau saya tidak layan, tidak akan terjadi apa-apa. Pelik, saya sudah sebaya atuk mereka pun mahu ganggu,” katanya berseloroh.

Dalam pada itu, disebabkan penangan drama tersebut, para peminat Faizal turut mengikuti akaun peribadi kedua anak kesayangannya iaitu Fazryn yang kini berusia 20 tahun dan Fazrick, 17.
“Bila ada yang korek balik video lakonan lama-lama dan muat naik di TikTok. Secara tak langsung, mereka jumpa juga akaun TikTok anak-anak saya,” katanya.
“Ada juga yang mesej mahukan anak-anak saya. Anak perempuan saya tiada masalah, dia tidak layan. Cuma anak lelaki saya baru tingkatan 5, tidak berapa sporting,” ujarnya sambil ketawa.
Sementara itu, Faizal turut meluahkan rasa syukur dan bangga dengan kejayaan ‘Bidaah’ yang kini meraih perhatian antarabangsa, khususnya menerusi platform penstriman Viu. Beliau juga berharap agar lebih banyak drama tempatan boleh ditonton dan diakses oleh khalayak ramai khususnya penonton di luar negara.
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.