Kemiskinan bukan alasan untuk menjadikan seseorang individu itu berjaya. Asalkan ada minat dan usaha, kejayaan bakal diperoleh untuk kita mengubah kehidupan sekeluarga.
Seperti kisah yang dikongsi oleh seorang pengguna Facebook ini, Azhar Othman menceritakan tentang seorang gadis bernama Riana, yang ditemuinya sempena Program Motivasi Pelajar Cemerlang di Sabah. Riana yang dibesarkan dan bersekolah di Kg Bongkol, Pitas, Sabah. Walaupun menjalani kehidupan yang susah sejak kecil lagi, ia tidak mematahkan semangat untuk gadis ini tetap tetap terus berusaha mengejar cita-citanya.
Bongkol terletak hanya 28km dari Pekan Pitas tetapi mengambil masa perjalanan lebih 1 jam untuk sampai. Biarpun dalam keadaan serba kekurangan di sekolah dan di rumah, Riana berjaya memperoleh 7A dalam PMR 2010. Malangnya, permohonan gadis ini untuk menyambung pelajaran ke MRSM Kuching ditolak dan dia hanya meneruskan pelajaran di SMK Bongkol.
Semenjak daripada pertemuan itu, Azhar dan rakan-rakannya berazam untuk membantu Riana untuk mencapai impiannya. Anak jati Sabah ini diterima masuk ke Sekolah Menengah Sains Sabah pada Mei 2011. Pada mulanya, Riana terpaksa menghadapi cabaran sukar. Sebagai seorang yang pendiam dan pemalu (introvert) dan pertama kali berpisah dengan keluarga, beliau sukar menyesuaikan diri di tempat baru, dengan rakan-rakan baru yang tidak kurang hebatnya di sebuah sekolah aliran Sains yang belum pernah ditempuhi sebelum ini.
Malah, ada guru beliau sendiri yang tidak yakin Riana boleh bertahan di sekolah berkenaan. Namun, berkat usaha, keyakinan diri dan bantuan beberapa pihak, beliau mula mengorak langkah menuju kecemerlangan. Apabila keputusan SPM diumumkan, beliau memperolehi 9A termasuk 5A1 dalam subjek Sains dan Matematik.
Setelah menunggu lama dan mengambil risiko menolak beberapa tawaran belajar di dalam negara, Riana akhirnya ditawarkan biasiswa JPA untuk melanjutkan pelajaran ke Korea Selatan dalam bidang Kejuruteraan Kimia. Sebelum itu, dia perlu menjalani kursus persediaan bahasa Korea di INTEC, Shah Alam. Ituah kali pertama dia ke Kuala Lumpur dan menaiki kapal terbang.
Februari 2014 menjadi sejarah apabila buat pertama kalinya Riana menjejakkan kaki di bumi Korea. Melanjutkan pelajaran di Seoul University dan Inha University, Riana belajar cara kehidupan di sebuah kota metropolitan dan budaya tradisional yang bersimpul dengan cara hidup moden melalui interaksi dengan kawan-kawan, pembacaan dan penggembaraan.
Disana juga dia terpaksa berhempas pulas bersaing dengan pelajar tempatan dan antarabangsa. Namun, seperti yang dijangka, Riana berjaya meraih anugerah Dean’s List atas keputusan yang cemerlang.
Gadis ini berjaya menghabiskan pengajian pada akhir 2018 dan menerima ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Kimia dalam majlis konvokesyen pada Februari 2019.
Riana kini berkhidmat di sebuah syarikat multinasional terkenal dari Jepun dan ditugaskan untuk menjadi penterjermah dan perantara untuk tujuan menggembangkan pasaran produk syarikat tersebut di Korea Selatan.
Inilah yang dikatakan tuah ayam nampak di kaki, tuah manusia siapa yang tahu?
Keazaman dan ketekunan Riana dalam menuntut ilmu membuahkan hasil. Walaupun sudah berjaya, Riana masih lagi merendah diri, bersopan santun dan tidak lalai dengan arus kemodenan. Dia seorang yang amat berdedikasi, rajin dan fokus kepada keinginan tinggi untuk berjaya serta membantu keluarga daripada belenggu kemiskinan.
Tidak ada yang mustahil, korang juga boleh berjaya sekiranya berusaha keras dan tidak menjadikan alasan kesusahan hidup sebagai penghalang untuk berjaya.
Sumber: Azhar Othman