Perubahan dunia moden sedikit sebanyak telah memberi ruang kepada lebih ramai penduduk dunia untuk menerima orientasi seksual yang berbeza-beza.
Buktinya dalam dunia hiburan antarabangsa, semakin ramai selebriti yang mengakui mereka kita telah bertukar arah mencintai jantina sejenis sekaligus menjadi sebahagian daripada golongan Lesbian, Gay, Biseksual dan Transgender atau LGBTQ+.
Terbaru, hati ribuan peminat wanita penyanyi pop Jepun muda, Shinjiro Atae pula dirobek dengan kekecewaan setelah idola mereka itu mendedahkan dirinya gay secara rasmi.
Atae, 34 membuat pendedahan berani itu di khalayak ramai semasa beliau menjayakan persembahan di hadapan kira-kira 2,000 peminatnya di Tokyo pada 26 Julai lalu.
“Perkara ini telah lama saya pendamkan dan kini saya boleh umumkan bahawa saya gay,” kongsi penyanyi itu.
“Saya sebelum ini tidak boleh berkata sedemikian kepada diri sendiri. Saya gentar sekiranya saya menerima ketentuan perasaan ini, seluruh dunia tidak akan menerima saya sebagai seorang artis.
“Bagaimanapun, saya sedar adalah lebih baik, untuk saya dan juga mereka yang saya kasihi, termasuklah peminat saya, untuk menjalani kehidupan secara jujur dan bukannya menjalani kehidupan di mana saya tidak boleh menerima keperibadian sendiri,” katanya lagi.
“Saya enggan orang lain perlu bergelut seperti saya (untuk menerima orientasi seksual mereka).”
Sementara itu, ibu Atae ketika ditemui pemberita memberitahu bahawa dia menyokong 200 peratus keputusan anaknya itu dan akan sentiasa berada bersamanya.
Untuk pengetahuan, industri hiburan di Jepun masih lagi konservatif sebagaimana di negara-negara Asia lain dan akibatnya, ramai yang perlu menyembunyikan identiti sebenar mereka agar tidak disisihkan.
Bagaimanapun, pendedahan berani mati Atae ini telahpun mendapat sokongan dari majoriti peminat dan masing-masing menzahirkan kata-kata semangat di media sosial buatnya.
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti telegram rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.