Blacklisted Daripada Keluar Negara, 60% Peminjam PTPTN Bayar Semula Hutang

Share

Tahun lalu seramai 586,863 peminjam Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) telah disenarai hitam oleh Jabatan Imigresen sehingga 31 Januari 2017. Ketua Eksekutif Pinjaman Tabung Pendidikan Tinggi Negara (PTPTN), Wan Ahmad Wan Yusoff dalam laporannya berkata, perkara itu melibatkan jumlah pinjaman bernilai RM11.6 bilion.

Wow, bukan calang-calangkan jumlahnya. Ternyata ada peminjam yang sangat tegar dan berdegil untuk membayar balik hutang yang telah mereka pinjam dengan pelbagai alasan. Mungkin sudah tiada pilihan dan ini jalan terakhir, senarai nama peminjam tegar ini telah disenarai hitamkan oleh Jabatan Imigresen Malaysia (JIM).

Bila nama telah disenarai hitam oleh JIM, ini bernakna secara automatiknya, peminjam tidak boleh keluar negara langsung. Mungkin terkesan dengan tindakan ini, ternyata peminjam-peminjam tegar ini boleh pula membuat bayaran.

Sebanyak 60 peratus peminjam Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) yang disenarai hitam oleh Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) telah membayar balik pinjaman mereka melibatkan sejumlah RM1.84 bilion sehingga Februari tahun ini.

PTPTN sentiasa membuat mekanisme terbaik bagi semua peminjam

 

Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Mary Yap Kain Ching berkata jumlah itu dapat menampung kira-kira 76,000 pelajar sehingga mereka tamat pengajian.

“Ini merupakan kesan positif daripada tindakan menyenarai hitam peminjam yang lalai membayar pinjaman. Ia jelas menunjukkan tindakan tersebut bukan untuk menindas tetapi mendidik peminjam supaya mereka lebih berintegriti dan bertanggungjawab membayar hutang,” katanya menjawab soalan Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali (PAS-Kuala Nerus) di Dewan Rakyat semalam.

Mohd Khairuddin bertanya tentang prosedur menyenaraihitamkan individu yang gagal membuat pembayaran semula pinjaman PTPTN setelah menamatkan pelajaran.

Yap berkata tindakan menyenarai hitam merupakan langkah terakhir PTPTN setelah notis bayaran balik dan peringatan dihantar kepada peminjam.

Dalam pada itu, beliau berkata PTPTN menyediakan pelbagai kemudahan kepada peminjam antaranya program #BolehBincang yang membuka ruang kepada peminjam untuk berunding dengan perbadanan itu.

Katanya, kaedah bayaran balik yang ditawarkan dalam program itu adalah sama ada untuk mengurangkan ansuran bulanan melalui penstrukturan semula pinjaman mengikut kemampuan sehingga peminjam berumur 60 tahun, atau membuat penangguhan bayaran balik sehingga 24 bulan, sekiranya peminjam masih belum mendapat pekerjaan. – BERNAMA

Published by
Almaswa Haji Che Ros