Berkuat kuasa 1 Januari 2022, gaji minimum baharu untuk pekerja Gred G di AEON Co (M) Bhd dan Aeon BiG (M) Sdn Bhd (AEON Malaysia) telahpun dinaikkan dari RM1,200 kepada RM1,500 sebulan.
Jumlah tersebut merujuk kepada gaji pokok dan tidak termasuk elaun atau insentif lain yang ditawarkan oleh syarikat tersebut kepada pekerja mereka.
AEON bertindak untuk menaikkan gaji minimum tersebut lebih awal dari taikh yang disyorkan kerajaan iaitu pada tahun 2022 demi kebajikan pekerjanya dan ia telahpun disambut baik oleh Kementerian Sumber Manusia, dalam laporan semalam.
Selari dengan inisiatif kelestarian AEON Sayap Bagimu dengan misi untuk memberikan peluang, dorongan dan sokongan kepada 13,000 orang pekerja di cawangan AEON seluruh negara, kenaikan ini diharap dapat meringankan kos kehidupan terutamanya bagi yang baru memulakan alam pekerjaan mereka.
Dalam skop yang lebih luas, kenaikkan gaji minimum ini akan menyediakan persekitaran pekerjaan yang lebih baik dan menggalakkan pertumbuhan ekonomi kerana lebih ramai pihak kini mempunyai kuasa pembeli.
Kali terakhir gaji minimum dinaikkan oleh syarikat tersebut adalah pada 1 Februari 2020 dari RM1,100 ke RM1,200 sebulan.
Apa pendapat korang, ngam tak gaji minimum di AEON sekarang?
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti telegram rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.
Lima Wabak Virus Pembawa Maut Yang Pernah Menyerang Rakyat Malaysia
Tatkala pandemik COVID-19 bakal memasuki fasa endemik bermula akhir bulan Oktober, tahun ini.
Ia mengingatkan kita kembali kepada virus-virus bahaya yang pernah dialami dalam sejarah negara kita. Bukan hanya memberi kesan kepada kesihatan manusia, impaknya juga mempengaruhi sistem ekonomi, sekali gus memberi tekanan pada kehidupan seharian.
Menurut Astro Awani, epidemik merujuk kepada wabak yang menyerang dalam skop lebih besar seperti negara dan merujuk kepada penyakit atau wabak yang sentiasa wujud di sesuatu kawasan.
Berikut kami senaraikan lima wabak virus yang pernah menjangkiti rakyat Malaysia.
1. Virus Nipah
Memetik laporan Jabatan Perkhidmatan Veterinar, penyakit Nipah ini dikaitkan dengan gangguan pada sistem pernafasan babi, dan adakalanya melibatkan gangguan sistem saraf dan kematian dalam ternakan tersebut.
Tahun 1999 menyaksikan satu tragedi hitam berlaku di Negeri Sembilan apabila dilaporkan satu penularan virus baharu diberi nama, virus Nipah bersempena lokasi virus itu berpunca. Penularan virus ditemui di Kampung Sungai Nipah dan Bukit Pelandok itu dipercayai mengorbankan seramai 105 orang.Jangkitan turut dilaporkan dalam kambing, biri-biri, anjing, kucing dan kuda.
Di sebalik misteri penyakit itu, seorang individu dikenali Dr. Chua Kaw Bing merupakan doktor yang berjaya merungkai dan menamatkan kegilaan penyakit misteri itu di Malaysia.
Penyakit Nipah telah disenaraikan dalam Penyakit Wajib Lapor yang diwartakan di bawah Akta Binatang 1953 perkara 31(1) oleh Jabatan Perkhidmatan Veterinar Malaysia.
World Organisation for Animal Health (OIE) telah mengisytiharkan Malaysia bebas Nipah pada awal tahun 2001.
2. Denggi, Zika, Chikungunya dan JE
Ini pula merupakan empat jenis wabak berbeza yang pernah menjangkiti rakyat Malaysia, namun berpunca dari satu bawaan yang sama iaitu serangga nyamuk.
- Denggi
Pada tahun 1962, wabak pertama demam denggi berdarah berlaku di George Town, Pulau Pinang. Denggi merupakan sejenis penyakit jangkitan virus yang merebak melalui gigitan nyamuk Aedes aegypti yang telah dijangkiti. Pesakit akan mengalami tanda-tanda dan gejala selepas lima hingga enam hari gigitan nyamuk seperti demam panas, sakit kepala, sakit sendi-sendi dan ruam.
- Zika
Zika pula merujuk kepada penyakit virus yang disebarkan oleh nyamuk yang membawa virus Zika (ZIKV). Ia disebarkan kepada manusia melalui gigitan nyamuk Aedes iaitu vektor yang sama bagi demam denggi.
- Chikungunya
Penyakit Chikungunya juga berjangkit melalui gigitan nyamuk Aedes albopictus atau Aedes aegypti yang membawa virus tersebut. Ia boleh disalah anggap sebagai demam denggi kerana tanda-tanda penyakit yang menyerupai demam denggi.
- Japanese Encephalitis atau JE
Di Malaysia, kes JE dilaporkan secara sporadik (kes-kes terpencil) dan kes pertama telah dicatatkan oleh Cruikshank pada tahun 1951 di mana berlaku kejadian wabak di kalangan banduan British semasa Perang Dunia Kedua.
Penyakit ini juga disebarkan kepada manusia melalui gigitan nyamuk Culicine iaitu Culex tritaeniorhynchus, Culex vishnui, Culex gelidus dan Culex fuscocephala. Khinzir dan pelbagai burung liar akan dijangkiti penyakit JE terlebih dahulu sebelum virus JE menjangkiti manusia melalui gigitan nyamuk.
3. Selesema burung
Dikenali Influenza H5N1 ini menyerang sumber makanan daging utama iaitu burung-burung domestik seperti ayam, angsa, itik dan ayam belanda. Berdasarkan laporan Jabatan Perkhidmatan Veterinar Negeri Perak, selesema burung disebabkan oleh virus Avian Influenza (AI) yang biasanya boleh berjangkit kepada burung.
Malaysia bebas dari penyakit selesema burung sehingga Ogos 2004 apabila kes pertama dikesan di Kelantan.
4. Influenza A H1N1 (Selesema babi)
Ia juga dikenali sebagai selesema H1N1 kerana ia mempamerkan dua antigen permukaan utama, iaitu H1 (jenis hemagglutinin) dan N1 (jenis neuraminidase 1). Ia sejenis penyakit berjangkit pada saluran pernafasan yang disebabkan oleh virus influenza A (H1N1) dan sebahagian daripada influenza bermusim (seasonal influenza).
5. MERS-Cov
Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) pada 2018 memaklumkan mengenai satu kes jangkitan ‘Middle East Respiratory Syndrom’ atau Sindrom Pernafasan Akut Timur Tengah (MERS-CoV) di Malaysia.
Merujuk kepada laporan daripada pihak WHO, sehingga kini punca jangkitan sebenar dan cara jangkitan bagi penyakit MERS-CoV ini masih lagi belum dapat dikenalpasti.
Namun, aktiviti seperti menyentuh haiwan terutama unta, memakan atau meminum sebarang produk mentah atau tidak dimasak dengan sempurna yang melibatkan unta seperti susu, daging, air kencing adalah berisiko untuk mendapat jangkitan MERS-CoV.
Selain lima wabak berkenaan, KKM juga menyenaraikan beberapa penyakit berjangkit yang dikenali di negara ini. Antaranya HIV, penyakit tangan, kaki dan mulut (HFMD), penyakit meningitis dan jangkitan bakteria Chlamydia.
Terbaru, semalam Menteri Kesihatan iaitu Yang Berhormat Khairy Jamaluddin telah mengumumkan jangkaan bahawa Malaysia akan memasuki fasa endemik bermula akhir bulan Oktober, tahun ini.
Sumber : Astro Awani
7 Ciri Keselamatan Mykad Dan Fungsi Lain Selain Touch n Go
Siapa kalau tak bawa kad pengenalan atau MyKad rasa tak senang duduk dan tak sedap hati?
Yelah, MyKad merupakan dokumen paling penting bagi seorang yang bertaraf warganegara.
Kebanyakan urusan berorientasikan perundangan memerlukan kad pengenalan sebagai dokumen sokongan. Justeru itu sangat penting dalam menjaga kad pengenalan agar tidak hilang, rosak dan sebagainya.
Tapi korang pernah terfikir tak apa istimewanya MyKad yang ada dalam dompet korang tu? So mari kita lihat tujuh ciri-ciri keselamatan yang ada pada MyKad untuk mengelakkan data kita dari dicuri.
1. Cetakan pelangi
Cetakan boleh berubah warna dari merah ke ungu pada sudut tertentu. Kilauan pelanginya akan muncul jika kita memandang kad tersebut daripada sudut berbeza.
2. Nombor MyKad turisan laser
Mengelakkan nombor MyKad daripada mudah ditoreh. Ini penting kerana jika ianya mudah ditoreh, penjenayah mungkin akan lebih mudah untuk menukar maklumat kita.
3. Imej turisan laser
Jika kita perasan, terdapat satu lagi gambar wajah kita tertera di bahagian tengah MyKad. Imej yang diletakkan di situ adalah daripada turisan laser. Sudah tentu tidak mudah untuk penjenayah mengubahnya.
4. Perlindungan anti-salinan
Mengelakkan MyKad daripada mudah dicetak oleh pihak tidak bertanggungjawab. Perlu diingatkan, penjenayah boleh melakukan apa sahaja terhadap MyKad kita ini, termasuklah mencetaknya untuk tujuan yang tidak dikenal pasti.
5. Corak ‘guilloche’
Corak latar belakang MyKad.
6. Sinaran UV pelbagai warna
Variasi warna terdapat pada MyKad tulen. Manakala bagi kad palsu, barangkali tiada lagi sinaran UV pelbagai warna seperti yang asal.
7. Cip 80K
MyKad mempunyai satu cip mikropemproses serta memori EEPROM yang berupaya menyimpan pelbagai data seperti biometrik (cap jari/imbasan iris), lesen memandu, pengaksesan MEPS dan sebagainya.
Fungsi Mykad
Banyak sebenarnya kegunaan MyKad ni selain digunakan sebagai pengesahan identiti dan juga kad touch n go:
1. Kad e-Tunai atau Kad Debit
Jika MyKAd korang mempunyai logo MEPS Cash, ini bermakna ia boleh melakukan pembayaran menggunakan Mykad. Jadi, bawa Mykad je cukup nak keluar.
2. Kad ATM
MyKad juga boleh digunakan pada mesin ATM untuk melakukan apa-apa transaksi. Tapi sebelum itu, korang kena lah berurusan dengan pihak bank. Antara bank yang membenarkan penggunaan MyKad sebagai Kad ATM ialah Citibank, Maybank, Public Bank dan Bank Islam.
3. Kad Kesihatan
Ini paling menarik, untuk pengetahuan korang Mykad boleh berfungsi sebagai kad kesihatan. Korang boleh menyimpan maklumat-maklumat kesihatan seperti jenis darah, alahan, organ implant, penyakit kronik dan maklumat waris atau ahli keluarga terdekat juga. Hebatkan sekeping Mykad ni….
Sumber: Jabatan Pendaftaran Negara / Wikipedia / Blog Mau Kerja
Doktor Ini Ajar Cara Gunakan Pulse Oximeter, Elak Bacaan Tidak Tepat
Sejak kebelakangan ini, pengunaan pulse oximeter sering disebut kerana ia merupakan antara alatan penting di rumah bagi mengukur tahap oksiden dalam badan dan kadar denyutan jantung.
Lebih-lebih lagi kepada pesakit COVID-19 yang dikuarantin di rumah, penggunaan alat ini dapat mengetahui sama ada keadaan mereka baik atau tidak.
Oleh yang demikian, penting untuk korang mengetahui cara menggunakan pulse oximeter ini dengan betul bagi mengelakkan bacaan yang tidak tepat.
Menurut Dr Zubaidi Hj Ahmad, pengukuran dan hasil bacaan perlu dicatat tiga kali sehari dan perlu dilakukan pada masa yang sama setiap hari. Contohnya, tiga kali sehari mengikut waktu makan.
Lakukan pengukuran tambahan jika korang merasakan berlaku perubahan dalam kesihatan. Berikut adalah cara penggunaan pulse oximeter dengan betul.
1. Tanggalkan pewarna kuku/kuku palsu dan panaskan tangan dengan menggosokkan kedua tapak tangan jika berasa sejuk
2. Berehat sekurang-kurangnya 5 minit sebelum melakukan pengukuran
3. Letakkan tangan korang di dada pada paras jantung dan kekalkan tangan pada paras tersebut
4. Hidupkan pulse oximeter dan pasang di jari tengah atau telunjuk pada tangan yang berada di dada
5. Kekalkan posisi tangan korang dengan pulse oximeter sekurang-kurangnya 1 minit atau sehingga bacaan menjadi stabil
6. Hanya catatkan bacaan tertinggi jika bacaan tidak berubah selama 5 saat
Pastikan setiap pengukuran dilakukan dengan berhati-hati dan sekiranya tahap oksigen kurang daripada 95 peratus, korang dinasihatkan untuk segera mendapatkan rawatan.
Satu lagi pesanan kami, sebelum membeli pulse oximeter ini, pastikan ia dari jualan yang sah kerana sudah banyak pulse oximeter palsu dijual secara online.
Kalau nak selamat cari sahaja di farmasi okay?
Semoga bermanfaat!
Sumber: (1)