Isu depresi bukanlah isu yang boleh dibuat main.
Dalam dunia hiburan di Malaysia saja, telah ramai selebriti yang mengakui berdepan dengan situasi depresi sehingga memerlukan pertolongan pakar bagi membantu menstabilkan semula emosi mereka.
Terbaru, usahawan Nur Sajat pada minggu ini telah membuka ruang untuk masyarakat mengadilinya di laman media sosial apabila dia secara terbuka telah berkongsi beberapa perkara yang mungkin terlalu peribadi untuk dikongsikan, pada pendapat kami. Saban hari, ada saja muat naik terbaru Sajat di Instagram berkenaan kondisinya sekarang yang tidak begitu stabil, secara emosi.
Semalam saja, Nur Sajat, 36 buat kali pertamanya meluahkan rasa kekeliruannya dengan soal identiti diri sebagai seorang ‘perempuan’ dan faktor agama.
“Menunggu masa. Aku ini lelaki yang mempunyai kemaluan wanita. Aku pakai baju sopan di dalam agamaku, buat sedekah dikatakan perbuatan haram. Haram semua yang aku lakukan selama 5 tahun aku dalam dunia perniagaan.
“Amalan kebaikan sia-sia saja, sebab Sajat ID lelaki!!!! Wahai Muhammad Sajjad Kamaruzzaman, walaupun kau tu ID lelaki tetapo anggota badan wanita tetapi ko tetap lelaki!!!! Lelaki berdasakan ID!! Cara hidup kau semua adalah wanita!!!!
“Aku dah perempuan, kemaluan aku, tubuhku, cara hidupku semua perempuan. Aku manusia tak sempurna. Aku cacat pemikiran, cacat jiwa, cacat naluri. Aku cuba kawal, cuba berubah tetapi cacat ini terus kekal!!!! Rupanya cacat dalam lagi kuat tamparannya.
“Orang macam aku tetap haram ke?? Apa hukum aku yang menukar jantina untuk bersujud pada Allah?? Aku cacat!!! Aku cacat,” catatnya menerusi satu lagi muat naik di Instagram.
*
Sebelum ini, Nur Sajat tidak pernah melayan kata-kata warganet yang selalu menuduhnya sebagai insan transgender yang tidak mahu mengaku berasal daripada jantina lelaki. Nur Sajat tetap mempertahankan bahawa dirinya adalah seorang wanita walaupun hakikatnya, foto MyKad dengan nama sebenarnya telahpun bertebaran sejak beberapa tahun lalu.
Kini apabila kisah Nur Sajat digari oleh pegawai Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) di Pusat Penahanan Sementara Kuala Kubu Bharu pada minggu lalu luas diperkatakan oleh masyarakat, Nur Sajat menjadikan media sosial sebagai tempat meluahkan segala yang terbuku di hatinya.
Dari soal dilayan secara tidak wajar oleh pihak JAIS, dicederakan dan digari sehingga tangan dan badannya bengkak demi mempertahankkan diri, Nur Sajat tidak boleh menahan dirinya lagi daripada terus meluahkan perasaan.
Semalam menerusi paparan Instagram Stories, Nur Sajat menceritakan betapa sukarnya dia untuk melelapkan mata. Memasuki hari keempat mengambil pil tidur demi mendapatkan rehat, dia tertanya-tanya sampai bilakah keadaan ini akan berlarutan.
Malah, dia juga sudah mula bercakap mengenai soal hari kematian yang jujurnya membimbangkan warganet mengenai kesihatan mental semasanya.
Melihat kepada situasi semasa yang melanda usahawan kontroversi ini, Nur Sajat sedang meminta pertolongan sebenarnya secara terbuka kepada masyarakat untuk membantunya melalui masa-masa yang sukar ini.
Ataupun ini hanyalah satu lagi bentuk ‘drama’ yang dimulakan oleh Sajat untuk mencipta publisiti dan mendapatkan simpati?