Portal bernama NEWSHUB New Zealand itu berkata, ugutan terhadap Perdana Menteri, Jacinda Ardern itu disampaikan melalu sebuah akaun Twitter. Ia berbunyi, “You are next
” (seterusnya, kamu) bersama gambar senjata dan imej Jacinda.Satu lagi tweet pula menggabungkan imej Jacinda dengan polis. Kedua-dua tweet tersebut telah terpadam selepas Twitter menggantung akaun pemiliknya semalam.
Ugutan itu hadir selepas Jacinda bersikap tegas di dalam kesemua ucapan dan kenyataan media beliau. “Dia (pengganas) inginkan perhatian melalui perbuatannya, dia ingin profilnya dan motifnya dikenali dunia. Sebab itulah kamu tidak akan mendengar saya menyebut namanya,” kata beliau di parlimen New Zealand.
***
Dalam pada itu, Emiriyah Arab Bersatu (UAE) memberikan sokongan dan menzahirkan simpati kepada Jacinda atas kebijaksanaan dan usaha yang telah dilakukan beliau selepas 50 mangsa beragama Islam maut dan puluhan yang lain cedera.
Semalam juga, bangunan pencakar langit, Burj Khalifah dipancarkan dengan gambar Jacinda Ardern sebagai tanda sokongan terhadap usaha keamanan beliau. Ia juga mempunyai ucapan ‘salam’ di dalam tulisan Jawi dan perkataan ‘peace’ (keamanan) – sama seperti yang tertera di muka hadapan akhbar The Press New Zealand semalam.
Perdana Menteri UAE, Sheikh Mohammed Rashid Al Maktoum juga telah memuat naik tweet bangunan tersebut di akaun milik beliau.
“Terima kasih PM @jacindaardern dan New Zealand untuk sokongan ikhlas yang menyentuh hati 1.5 juta umat Islam selepas serangan pengganas yang mengejutkan komuniti Islam di seluruh dunia.”