Sudah namanya rezeki buat pemilik nama Shaza Bae apabila boleh dikatakan drama lakonannya back to back ditayangkan di televisyen. Terbaharu, pemenang Dewi Remaja 2019 ini digandingkan bersama Hero Remaja 2020 Nadhir Nasar dalam drama berjudul Nusyuz Berkiblat Cinta.
Kali ini, watak yang dibawakan oleh dua pelakon baharu ini sememangnya mencabar kerana mereka perlu banyak bermain dengan emosi. Shaza Bae membawakan watak sebagai Safiana, merupakan seorang isteri kepada Erfhan (Nadhir Nasar), seorang lelaki panas baran dan kuat cemburu. Walaupun dipukul dan dimarahi suami, Safiana tetap setia dan taat kepada suaminya itu.
View this post on Instagram
Melakonkan watak sebagai suami dan isteri, mungkin ada yang tertanya-tanya bagaimana agaknya perasaan Shaza berlakon bersama Nadhir yang juga kenalan rapat selepas sama-sama bergelar juara Dewi dan Hero Remaja.
“Sebenarnya kami tidak mempunyai masalah untuk membawakan watak suami isteri ini, malah Shaza rasa bersyukur kerana sebelum ini telah mengenali Nadhir terlebih dahulu. Shaza tidak dapat bayangkan sekiranya watak itu dilakonkan oleh pelakon lelaki lain,” jelasnya sambil tertawa.
“Kami sudah berkawan sebelum ini jadi tidak dinafikan Shaza sudah selesa bersama Nadhir. Masuk sahaja di set penggambaran, kami terus tukar ‘mood’ dan menyelami watak sebagai Safiana dan Erfhan. Sewaktu di set lakonan juga, ada masanya kami tidak bercakap untuk mengambil ‘mood’ itu. Tapi apa-apa pun memang Shaza senang berlakon dengan Nadhir untuk watak kali ini,”
Sebelum ini timbul kontroversi video tular Nadhir mengangkat Shaza di salah satu babak yang bakal ditayangkan dalam drama tersebut. Shaza menjelaskan bahawa mereka bekerja secara profesional dan tidak memberi kesan kepada mereka berdua.
“Video tular itu keluar ketika insiden lakonan pelakon lelaki viral menjadi topik hangat netizen. Tetapi apa yang Shaza boleh katakan, situasi dan babak tidak sama seperti video viral tersebut. Penonton perlu tonton sendiri drama Nusyuz Berkiblat Cinta dan kami hanya menghayati watak yang dibawa,” jelas Shaza.
Nusyuz Berkiblat Cinta menyingkap kisah perhubungan toksik yang berlaku dalam masyarakat kita. Apa yang dipaparkan di dalam drama ini adalah situasi yang benar-benar berlaku dan kisah ini membawa banyak pengajaran dan ilmu kepada penonton.
View this post on Instagram
“Drama ini mengetengahkan isu penderaan emosi dan mental seorang wanita. Contohnya, walaupun Safiana seorang peguam dan bekerjaya, dia juga tidak terkecuali diperlakukan sedemikian oleh suaminya. Ia bermaksud penderaan emosi dan mental ini boleh dilalui oleh sesiapa sahaja tidak kira sama ada wanita bergelar suri rumah atau pun yang bekerjaya,” tambah Shaza lagi.
Jangan ketinggalan untuk saksikan Nusyuz Berkiblat Cinta pada setiap hari Ahad, jam 9 malam, mulai 3 April hingga 15 Mei secara eksklusif di saluran Astro Ria (104).
**
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti telegram rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.
https://www.youtube.com/watch?v=9DQhaU6VfAM