Malang tidak berbau, siapa sangka cendawan liar yang dikutip di kebun belakang rumah punca satu keluarga nyaris maut dan terpaksa masuk hospital.
Menurut laporan Sinar Harian, suri rumah itu hanya mampu melihat tujuh anaknya rebah seorang demi seorang dalam keadaan mulut berbuih dan berdarah kurang sejam selepas menikmati sayur cendawan goreng yang dipercayai beracun dalam kejadian pada Isnin minggu lalu di kediamannya mereka di Kampung Nyiur di sini.
“Tidak sampai sejam, saya rasa seperti ada yang tidak kena. Terasa seolah-olah hendak terbakar di dalam perut. Rasa panas semacam dan pada masa sama saya muntah berdarah termasuklah suami, Muhammad Nurhadi, 36.
“Dalam keadaan tidak bermaya, kami hanya mampu melihat seorang demi seorang anak tergolek. Ada yang mulut berbuih dan keluar darah. Allah saja yang tahu perasaan saya pada masa itu,” katanya.
Difahamkan, lauk cendawan beracun itu dijamah oleh mereka sekeluarga kecuali anak bongsu berusia setahun sebulan.
Hmm..bahayanya cendawan liar ni kerana fizikal tumbuhan ini kelihatan sama. Jadi, ini REMAJA kongsikan 5 jenis cendawan yang tidak boleh dimakan dan beracun.
Cendawan Amanita Bisporigera
Amanita bisporigera adalah spesies cendawan beracun yang berbahaya dalam keluarga Amanitaceae. Ia biasanya dikenali sebagai cendawan ‘Eastern North American Destroying Angel’ atau cendawan malaikat pemusnah.
Cendawan ini mempunyai payung putih halus yang dapat mencapai hingga 10 centimeter dan panjangnya sehingga 14 sentimeter. Jenis cendawan ini mempunyai dua spora dalam satu induk.
Cendawan Pholiotina Rugosa
Pholiotina rugosa adalah cendawan rumput biasa yang tumbuh secara meluas dan sangat biasa dijumpai di kawasan Barat Laut Pasifik. Jenis cendawan ini juga telah dijumpai di Eropah, Asia dan Amerika Utara.
Ia mengandungi mikotoksin yang boleh membawa kepada kematian. Awas, jenis cendawan ini tidak boleh dimakan.
Cendawan Sulfur Tuft
Cendawan sulfur tuft atau clustered woodlover adalah jenis cendawan hutan yang biasa dan sering kali dijumpai ketika hampir tidak ada cendawan lain. Cendawan ini tumbuh secara besar-besaran dalam gumpalan besar pada tunggul, akar mati atau batang pokok yang lebar.
Cendawan Sulfur tuft amat pahit dan merupakan cendawan yang beracun. Jika memakannya, ianya boleh menyebabkan muntah, cirit-birit dan sawan.
Toksin utama di dalam jenis cendawan ini adalah steroid yang dikenali sebagai steroid fasciculol E. Jangan sesekali makan cendawan jenis ini.
Cendawan Galerina Sulciceps
Spesies cendawan yang sangat berbahaya dan tidak boleh dimakan juga adalah Galerina sulciceps. Ia hidup di wilayah tropika Indonesia dan India, namun kadang-kadang dilaporkan membiak di Eropah.
Jenis cendawan ini mengandungi lebih banyak toksik daripada deathcap (Amanita phalloides). Cendawan ini terbukti mengandungi toksin alpha- (α-), beta- (β-) dan gamma- (γ-) amanitin. Satu kes pernah dilaporkan di Indonesia pada tahun 1930-an yang mengakibatkan 14 kematian akibat pengambilan jenis cendawan ini.
Cendawan Galerina Marginata
Galerina marginata adalah jenis cendawan yang beracun dalam keluarga Hymenogastraceae dari Agaricales. Sudah tentu tidak boleh dimakan. Cendawan ini mempunyai payung coklat hingga kuning coklat yang pudar ketika musim kering.
Insang cendawan ini berwarna kecoklatan dan memberikan cetakan spora yang berkarat. Cincin membran yang jelas kelihatan pada batang spesimen muda jenis cendawan ini akan hilang seiring bertambahnya usianya.
Moga perkongsian ini bermanfaat kepada semua, pengajarannya kenalpasti cendawan liar sebelum memetik dan dimakan. Dan get well soon buat ahli keluarga ini!
Sumber: Sinar Harian, Bidadari