Gara-Gara Mengata Finalis Lain, Ratu Cantik Rusia Ini Dikecam Teruk. Buat Permohonan Maaf Sambil Menangis

Share

Dalam dunia pertandingan ratu cantik kemenangan semestinya menjadi dambaan setiap finalis yang mewakili negara masing-masing. Namun pertandingan bukan bererti harus saling menjatuhkan sesama sendiri sebaliknya bersaing secara sihat dan menjalin hubungan baik antara negara.

Terbaharu, Alina Sanko, Miss Universe Russia 2020, terpalit satu kontroversi yang menjadi bualan dunia ratu cantik antarabangsa apabila sebuah video dia dan seorang jurusolek tersebar sedang mengutuk fizikal dan juga gambar finalis Miss Universe 2020 yang lain.

Alina dilihat memegang telefon bimbit terbabit manakala jurusolek tersebut menatal skrin. Menurut Instagram Anglopedia News, jurusolek tersebut berkata yang wakil dari Albania dan Argentina kelihatan seperti maknya manakala wakil Ghana, Canada dan Kosovo mempunyai imej yang teruk. Selain itu dia juga berkata yang wakil Barbados mengenakan solekan yang jelik.

Alina merupakan seorang pelukis yang berbakat.

Walaupun tidak berkata apa-apa, tindakan Alina yang ketawa saat jurusolek tersebut mengutuk peserta lain dilihat keterlaluan dan tidak memiliki semangat ‘sisterhood’ seperti mana yang dianjurkan dalam mana-mana pertandingan ratu cantik. Tawanya seolah-olah menyokong apa yang dikatakan oleh jurusolek terbabit.

Setelah video itu tersebar luas, Alina telah mengeluarkan satu video memohon maaf bagi meredakan keadaan. Dalam hantaran video tersebut, wanita cantik berusia 23 tahun ini berkata, “Rakan-rakan yang dihormati, ucapan ini tiada kena mengena dengan pertandingan. Saya tujukan penjelasan ini kepada anda kerana saya tidak dapat berdiam diri lagi. Kepada mereka yang menyintai dan mengasihi saya, saya berhutang penjelasan kepada anda semua.

“Saya mesti meminta maaf kepada semua orang yang dihina oleh situasi yang menjerat saya. Saya telah bekerja keras untuk final Miss Universe. Saya menghormati dan mempercayai semua orang yang saya bekerjasama semasa persiapan. Kelas induk dengan jurusolek, Serdar telah diatur. Tetapi tanggal 13 April nampaknya menjadi mimpi buruk.

“Saya keliru dan tidak segera bertindak balas. Saya minta maaf tanpa henti kerana saya tidak dapat menghalang lelaki itu daripada mengatakan kata-kata kasar mengenai para peserta. Ia menyakitkan, sekarang saya meminta maaf kepada semua orang yang terlibat. Saya minta maaf kerana saya tidak mengatakan apa-apa untuk melindungi gadis-gadis tepat pada waktunya.

“Saya mengasihi dan menghormati setiap orang di dunia dengan ikhlas. Insiden yang berlaku adalah pengajaran bagi saya, dan saya telah mempelajari satu perkara yang penting, suarakan pandangan anda bila perlu, teutamanya bagi setiap wanita. Saya harap teladan saya dapat mengelakkan setiap wanita melakukan kesalahan seperti sayang telah saya lakukan. Tolong maafkan saya.”

Alina sebelum ini pernah mengikuti pertandingan Miss World 2019 mewakili Rusia dan berjaya menjadi barisan top 12. Adakah insiden ini akan merencatkan kemaraannya untuk menjadi antara kelompok terbaik dalam pertandingan Miss Universe 2020? Kita nanti kan sahaja.

 Sumber gambar: Instagram Alina sanko

Published by
Fiezreen