Terlajak perahu boleh diundur terlajak laku, padah menanti. Ini peribahasa yang boleh digunakan untuk seorang YouTuber Indonesia apabila nak ‘prank’ tapi tak jadi!
Kini berlumba-lumba manusia buat pelbagai cara untuk jadi terkenal. Hanya berbekalkan beberapa video yang boleh menarik perhatian orang ramai, muat naik di laman sosial media atau platform YouTube, pasti ada mata-mata yang memerhatikan video anda sehingga menjadi tular.
Tapi yang tak bestnya kadang kala, perbuatan mereka ini tidak menjaga perasaan dan sentiviti masyarakat.
Hukuman penjara 10 tahun menanti YouTuber Indonesia jika didapati bersalah selepas melakukan prank daging korban.
Yang terbaharu di Indonesia, seorang YouTuber, Edo Putra bersama rakannya yang tidak didedahkan identitinya telah melakukan prank kepada dua wanita di sebuah kampung dengan memberikan dua plastik hitam yang kononnya berisi 5kg daging korban.
Namun, kedua-duanya diminta untuk tidak membuka plastik tersebut pada waktu tersebut. Apabila dibuka, beg plastik tersebut didapati hanyalah diisi dengan sampah yang mereka kutip di kawasan kampung.
Pada ketika itu jelas kelihatan riak kecewa pada wajah mangsa prank tersebut. Mereka kemudiannya kembali kepada mangsa dan memohon maaf sebelum menyerahkan sekitar RM144 kepada mangsa untuk membeli daging.
Video yang sudah dimuat naik di laman YouTube didapati mendapat lebih banyak tanda tidak suka daripada suka serta kritikan di laman komen disifatkan keterlaluan oleh orang ramai.
Menurut Ketua Komisioner Polis Palembang, Anom Setyadji, kedua-duanya sudah ditahan di bawah kesalahan Artikel 14 Kanun Jenayah Membuat Berita Palsu dan Masalah dalam Komuniti kerana melanggar etika kesopanan yang mana jika didapati bersalah boleh dikenakan hukuman penjara 10 tahun.
So korang yang nak buat ‘prank’ tu fikir dulu sebelum buat apa-apa. Jangan fikir seronok tanpa memikirkan perasaan orang lain!