Pelik bukan? Kebiasaannya kalau kita takutkan sesuatu pasti kita cuba elakkan dari bertemu ataupun melalui lokasi tersebut. Namun lain pula cerita gadis manis berusia 12 tahun yang berasal dari Australia ini. Ketika anak muda seusia dengannya rancak meluangkan masa dengan gajet ataupun bersosial, bagi TJ Kleeman dia memilih untuk melawat tapak perkuburan tempatan berdekatan rumahnya dan membersihkannya.
Dia akan meluangkan masa sebanyak tiga kali seminggu untuk ke situ dan membersihkan setiap kubur dari daun dan kemudiannya akan memberus kubur-kubur tersebut agar tidak diselaputi lumut dan kotoran.
PERMULAAN
Hobi membersihkan kubur ini bukanlah datang dengan sendirinya. Namun segalanya bermula apabila keluarganya berpindah ke rumah baharu mereka yang terletak sangat dekat dengan kubur. Ujarnya kepada ABC, “Saya sangat takut memikirkan kubur tersebut hanya terletak di belakang rumah. Kemudian ibu saya mengajak saya untuk melihatnya menerusi laman belakang rumah kami dan menginspirasikan idea untuk membersihkan kubur-kubur tersebut.”
Ternyata dengan berbuat demikian perasaan takut akan kubur lenyap sebaliknya kepuasan tercapai apabila melihat kawasan tersebut nampak kemas dan cantik. Sehingga kini dia dan juga ibunya sudah melakukan kerja amal membersihkan kawasan kubur tersebut selama sembilan tahun.
AUGERAH KOMUNITI
Pelajar di Sekolah Tinggi Tweed River ini telah dianugerahkan Tweed Shire’s 2020 Young Achiever in Community Service pada hari Australia yang lalu. Bercakap mengenai penganugerahan itu, TJ berkongsi, “Saya berharap kerja kesukarelawanan ini menjadi inspirasi kepada orang lain. Anda juga boleh buat begini dan membantu orang lain. Mungkin bukan di kubur, boleh jadi benda lain. Melakukan kerja servis komuniti ini akan membuatkan ada rasa puas.”
*** P/S- Agak-agak korang berani tak buat kerja komuniti membersihkan kubur?
Sumber: ABC