Isu tersalah buat pindahan wang di bank bukan lagi sesuatu yang mustahil kerana dengan kecuaian sendiri, pastinya masalah ini boleh berlaku.
Hal ini telah pun terjadi pada seorang rakan Nor Zabetha yang diceritakan dalam perkongsiannya di laman Facebook.
Rakannya ingin membuat pindahan wang dari akaun banknya kepada akaun banknya yang lain. Malangnya, sewaktu melakukan transaksi tersebut, dia telah cuai memasukkan nombor akaun bank. Hanya satu digit saja yang silap dan dia tak perasan. Akibatnya wang sebanyak RM5,000 telah dipindahkan ke akaun lain tanpa dia sedar.
Bila mula tersedar, dia segera menghubungi kedua-dua bank dan buat laporan polis. Menurut pihak bank, mereka akan cuba menghubungi individu yang menerima wang tersebut untuk memulangkannya semula.
Pihak bank berjaya menghubungi si penerima dan dia bersetuju untuk memulangkan semula wang tersebut. Cuma dia memberi alasan akan berlaku sedikit kelewatan kerana faktor umur.
Namun, selepas beberapa hari wang tersebut masih gagal dipulangkan. Pihak bank cuba menghubungi penerima wang tersebut semula tetapi panggilan bank tidak dijawab. Cubaan berkali-kali yang dilakukan oleh pihak bank masih gagal.
Jadi, pihak bank memaklumkan kepada rakannya, tiada tindakan lanjut yang boleh mereka ambil. Mangsa meminta agar pihak bank mendedahkan nama serta butiran kad pengenalan penerima supaya boleh menuntut di mahkamah.
Walau bagaimanapun, pihak bank tidak boleh mendedahkan segala butiran penerima memandangkan bank telah terikat dengan Akta Perlindungan Data Peribadi 2010. Maklumat tersebut hanya boleh diberikan dengan Perintah Mahkamah. Malangnya, untuk memperoleh Perintah ini akan memerlukan kos yang lebih tinggi. Tidak berbaloi.
Menurut Zabetha juga, jika kesilapan datang dari pihak bank, kita memang boleh tuntut sebab itu adalah kecuaian bank itu sendiri. Tapi, jika kesilapan datang daripada diri sendiri, terpaksalah kita terima akibatnya.
Walaupun hanya tersalah satu digit saja, kesannya mungkin boleh menyebabkan korang menyesal seumur hidup.
Jadi, berhati-hati sewaktu membuat pindahan wang. Korang boleh mengambil langkah berjaga-jaga seperti berikut:
1. Semak nombor akaun sebelum klik transfer. Semak nombor akaun beberapa kali dan penama akaun.
2. Sekiranya pindahan tidak mustahak, buat pindahan secara Interbank Giro (IBG) transfer kerana jumlah ini tidak terus dipindahkan dan mengambil masa selama 3 hari sebelum pindahan. Jadi, sekiranya korang tersalah buat pindahan wang, korang masih sempat menghubungi pihak bank bagi tujuan pembatalan.
3. Kalau kita sentiasa buat pindahan ke akaun sendiri tetapi ke bank yang berbeza, disarankan untuk pilih akaun yang selalu dipindahkan sebagai akaun 'favorite' supaya data memang sudah ada. Jadi korang tidak perlulah memasukkan berulang kali dan tidak bimbang isu tercuai masukkan nombor akaun.
Jangan terburu-buru dalam membuat pindahan wang sebabnya nanti korang juga yang menyesal jika tersalah transfer. Jadikan kisah ini sebagai pengajaran untuk kita lebih berhati-hati di masa akan datang.