Mungkin kedengaran pelik, namun inilah yang terjadi kepada Mohamad Azwan Syhmin Md Yusoff , 18, yang meninggal serta merta di tempat kejadian apabila dia separuh tubuhnya hancur akibat digilis kereta api.
Mangsa yang ketika itu dipercayai sedang tidur di atas landasan kereta api bersama seorang lagi rakannya di Kampung Tiong berdekatan Gua Musang tidak sempat bangun apabila hon kecemasan dibunyikan sebagai amaran yang kereta api semakin dekat.
Walau bagaimanapun rakannya itu sempat menyelamatkan diri dalam kejadian yang berlaku kira-kira jam 5.30 pagi pada awal pagi Isnin. Kereta Api tersebut dikatakan sedang dalam perjalanan dari Kuala Lipis, Pahang menuju ke Tumpat, Kelantan.
Mengikut laporan Sinar Harian, Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintendan Sik Choon Foo berkata, “Pemandu kereta api yang dalam perjalanan dari Kuala Lipis ke Tumpat itu ternampak lelaki tidur atas landasan dan membunyikan hon. Mangsa tidak sempat bangun bagaimanapun rakannya tersedar dan lari menyelamatkan diri.”
Sejurus selepas kejadian tersebut berlaku, pemandu kereta api kemudiannya terus bertindak melaporkan insiden itu kepada Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) dan polis untuk tindakan lebih lanjut.
Hasil siasatan pihak polis, mayat mangsa dijumpai kira-kira 30-meter dari lokasi asal tempat tidur mangsa dan rakannya. Mayat mangsa kemudiannya dibawa ke Hospital Gua Musang untuk tujuan bedah siasat.
Kes ini diklasifikasikan sebagai mati mengejut.
Dalam tinjauan Remaja ke laman Facebook Mat Jenazah Vjgm yang merupakan pihak perkhidmatan van jenazah percuma yang menguruskan proses pengkembumian mangsa. Allahyarham Azwan Syhmin telah dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Lembaga, Gua Musang kira-kira jam 2.45 petang hari yang sama.
Semoga roh Allahyarham ditempatkan bersama orang-orang beriman dan keluarganya tabah dalam menghadapi dugaan ini.
+++ Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti telegram rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.