Garis Panduan Spotify Ini Punca Foto Playlist ‘Dengki Ke’ Fahmi Reza Ditapis

Share

 

Penangkapan aktivis dan pereka grafik lantang, Fahmi Reza setelah pemuda itu memuat naik playlist muzik bertema ‘Dengki Ke’ di platform penstriman Spotify pada hari ini telah menjadi topik perbualan hangat di media sosial.

Setelah seminggu tanda pagar #DengkiKe tular di media sosial dengan merujuk kepada komen ‘Dengki Ke?’ berbaur perli oleh pemilik akaun Instagram @airangan_tunkuazizah, warganet tempatan tidak henti-henti memuat naik meme, status dan pelbagai lagi cara lain demi menyuarakan rasa tidak puas hati mereka terhadap komen ‘Dengki Ke’ tersebut.

Sumber Foto : Instagram @airangan_tunkuazizah.

Sebagai seorang yang terkenal dengan kelantangannya tanpa berselindung, Fahmi Reza turut menyuarakan protesnya dengan cara tersendiri.

Dia telahpun mewujudkan playlist bertajuk ‘Dengki Ke?’ di Spotify dengan memuat naik 101 buah lagu berbahasa Inggeris dan bahasa Melayu yang bertemakan cemburu.

Sebagai contoh, lagu Jealousy nyanyian kumpulan Queen, Jealous nyanyian kumpulan K-pop, TVXQ dan Jealous nyanyian Jaclyn Victor.

Tidak cukup dengan itu, Fahmi telah menggunakan foto Raja Permaisuri Agong, Duli Yang Maha Mulia Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah pada bahagian ‘thumbnail’ playlist tersebut.

Akibatnya, Fahmi telah ditangkap atas dakwaan menghina oleh pihak polis pada pagi tadi.

Tambahan lagi, pihak Spotify juga didapati telah memadamkan nama playlist ‘Dengki Ke?’ dan wajah baginda. Begitupun, senarai lagu yang dimuat naik masih boleh diakses menerusi akaun Spotify Fahmi.

Pastinya ada di antara korang tertanya-tanya, mengapa pihak Spotify memadamkan dua benda itu saja tetapi masih membenarkan akaun tersebut diakses.

Tinjauan REMAJA terhadap bahagian Garis Panduan Imej Pengguna oleh Spotify menjelaskan situasi ini.

“Spotify bukan platform mempromosikan kebencian, penderaan atau apa-apa tingkah laku yang diharamkan.

“Pengguna tidak boleh memuat naik sebarang imej yang melanggar hak cipta, tanda dagangan (trademark) atau hak imej peribadi.”

Sumber Foto : Spotify

Pada bahagian ‘Prohibited Content’ atau ‘Kandungan Dilarang’ pula, jelas tercatat bahawa sebarang imej dan kandungan yang mendatangkan kebencian serta mempromosi keganasan tidak ditolerasi sama sekali.

Sumber Foto : Spotify

Justeru, itulah sebab foto dan nama ‘provokatif’ itu telah dipadamkan bagi mengelakkan  orang ramai terus menentang figura diraja itu di media sosial.

Fahmi sendiri berkongsi tangkap layar emel yang diperolehinya oleh pihak Spotify berkenaan pemadaman sebanyak 20 kali itu.

Bagaimanapun, baik pihak Spotify HQ atau Spotify Malaysia masih belum memberikan kenyataan berkenaan isu ini.

Artikel BerkaitanHanya Melalui Suara, Spotify Bakal Mainkan Lagu Ikut Emosi Pendengar – REMAJA

Published by
FZ