Gas Pemedih Mata Polis Indonesia Mungkin Punca Jumlah Mangsa Di Stadium Kanjuruhan Meningkat

Share

 

Masih berkenaan tragedi rusuhan besar-besaran di Stadium Kanjuruhan, Indonesia semalam semasa perlawanan bola sepak di antara Arema FC dan Persebaya Surabaya yang telah mengakibatkan 129 orang maut.

Di saat jumlah mangsa maut itu dikhuatiri akan meningkat lagi selepas ini, ramai pihak yang cuba merungkai bagaimana sejarah hitam dalam sukan bola sepak ini boleh terjadi.

ARTIKEL BERKAITAN : “Ini Tragedi Bangsa Indonesia,” – 129 Maut Dalam Kejadian Rusuhan Bola Sepak, Najwa Shihab Ungkap Rasa Kesal – REMAJA

Tragedi ini bermula susulan penyokong Arema FC bertindak masuk ke dalam kawasan padang setelah mereka tewas 2-3 kepada pasukan lawan.

Biarpun tindakan itu sememangnya salah dan mengakibatkan rusuhan terbabit bertukar menjadi medan maut bagi mereka yang berada di dalam stadium, ada juga pihak yang mempersoalkan tindakan pihak polis Indonesia yang menembak gas pemedih mata demi meleraikan perusuh.

Menurut Nico Afinta yang merupakan Ketua Polis Jawa Timur kepada CNN Indonesia, pihaknya terpaksa menembak gas pemedih mata bagi menghalang penyokong Arema FC bertindak lebih agresif.

Bagaimanapun, disebabkan gas pemedih mata itu juga, penyokong telah bersesak di kawasan pintu keluar bersaiz kecil di stadium sewaktu melarikan diri dan mengakibatkan sebahagian daripada mereka kekurangan oksigen, lemas serta sesak nafas.

Bagi yang terperangkap di sana, mereka juga terdedah kepada kandungan bahaya yang ada dalam gas pemedih mata itu.

Secara tidak langsung, tidak mustahil tindakan anggota polis ini telah mengakibatkan jumlah mangsa maut meningkat.

Dilarang Oleh FIFA

Tambah mengecewakan selepas ramai mendapat tahu bahawa penggunaan gas pemedih mata sebenarnya dilarang dalam mana-mana perlawanan Liga Domestik atau perlawanan antarabangsa mengikut peraturan Badan Bola Sepak Dunia atau FIFA.

No firearms or ‘crowd control gas’ shall be carried or used,” catat salah satu peraturanya di bawah sub topik Penjaga Tepi Padang atau Pitchside Stewards. Bukan sahaja ia tidak dibenarkan dibawa masuk malah sama sekali tidak boleh ditembak.

*

Bukan hanya nyawa melayang termasuklah mangsa dalam kalangan kanak-kanak dan anggota polis yang bertugas. Bahkan kemudahan di stadium berkenaan juga dilaporkan rosak teruk manakala ada kenderaan polis yang dubakar.

Selain 129 mangsa maut, difahamkan 180 orang individu lagi terpaksa dikejarkan ke hospital akibat kecederaan apabila berlaku pertembungan di antara penyokong dan anggota polis.

Akibat daripada insiden ini, Liga Bola Sepak Indonesia kini digantung selama seminggu sementara Persatuan Sepakbola Seluruh Indonesia (PSSI) menyiasat punca kejadian. Manakala pasukan Arema FC dilarang daripada menganjurkan sebarang perlawanan sepanjang musim ini.

BACA LAGI : Harimau Malaya Diserang Botol Plastik & Batu Selepas Tewaskan Indonesia 3-2 – REMAJA

Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti telegram rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.

Published by
FZ